Jurulatih Bayern Munich, Hansi Flick (tengah) meraikan pemainnya selepas aksi berdepan Lyon. FOTO AFP
Jurulatih Bayern Munich, Hansi Flick (tengah) meraikan pemainnya selepas aksi berdepan Lyon. FOTO AFP
AFP

JURULATIH Bayern Munich, Hansi Flick berkata pemburu treble dari Jerman itu perlu memperkukuhkan barisan pertahanan mereka untuk berdepan Paris Saint-Germain pada final Liga Juara-Juara (UCL) awal pagi Isnin ini.

Ia berikutan tercetus beberapa detik mencemaskan di awal permainan ketika kemenangan 3-0 ke atas Lyon pada aksi separuh akhir.

Anak buah Flick beraksi goyah pada awal permainan di Lisbon ketika rembatan kapten Lyon, Memphis Depay tersasar diikuti cubaan Karl Ekambi yang terkenal palang.

Sebelum pemain terbaik perlawanan Serge Gnabry memberi keyakinan buat Bayern dengan dua jaringan pada babak pertama.

Diikuti tandukan Robert Lewandowski bagi gol ke-15 UCL musim ini kira-kira dua minit sebelum wisel tamat dibunyikan ketika Bayern mengesahkan rekod 10 kemenangan berturut-turut dalam saingan Eropah.

Penyerang Lyon, Karl Toko Ekambi (kiri) dicabar pemain  Bayern Munich pada aksi Liga Juara-Juara. FOTO AFP
Penyerang Lyon, Karl Toko Ekambi (kiri) dicabar pemain Bayern Munich pada aksi Liga Juara-Juara. FOTO AFP

"Lyon beri tentangan hebat dan menyukarkan kami. Kami tahu PSG mempunyai pemain yang pantas dan kami harus menyusun barisan pertahanan dengan berbeza," kata Flick di mana pasukannya menjaringkan 42 gol dalam 10 perlawanan UCL untuk mara ke final.

"Paris pasukan yang hebat, mereka berjuang dengan cara mereka untuk mara ke separuh akhir dan layak ke final.

"Kami tahu mereka mempunyai pemain yang pantas, tapi kami tahu kekuatan kami adalah memberikan lawan kami tekanan hebat."

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Ogos 2020 @ 7:51 AM