FAHMY berkata kesemua pemain itu perlu memenuhi kriteria dan justifikasi yang ditetapkan oleh MSN. FOTO Asyraf Hamzah
FAHMY berkata kesemua pemain itu perlu memenuhi kriteria dan justifikasi yang ditetapkan oleh MSN. FOTO Asyraf Hamzah
Aida Adilah Mat


LIMA pemain lelaki dan sembilan pemain ragbi wanita dipanggil untuk memperkuatkan barisan skuad negara sebagai persediaan awal menghadapi saingan pada 2022 hingga 2026.

Kesemua mereka ini akan diserapkan ke dalam program sehingga 2026 yang mana kesemua 14 nama itu sudah dipersetujui oleh Majlis Sukan Negara (MSN) selepas mesyuarat jawatankuasa kerja hari ini.

Naib Presiden Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM), Fahmy Jalil berkata, bagaimanapun kesemua pemain itu perlu memenuhi kriteria dan justifikasi yang ditetapkan oleh MSN yang akan sentiasa memantau prestasi atlet dari masa ke semasa.

"Penyerapan pemain senior dan muka baru dalam skuad lelaki dan wanita ini diharapkan dapat memberi impak pada pasukan sedia ada dengan adanya bimbingan pemain lama dan baru.

"KRM akan memutuskan siapa dikalangan atlet yang akan mengetuai skuad kebangsaan lelaki dan wanita tujuh sebelah dalam masa terdekat ini," katanya.

Dalam perkembangan yang sama Fahmy memaklumkan Asia Ragbi sudah memutuskan untuk membatalkan semua pertandingan sehingga bulan Disember ini.

Oleh itu kesemua atlet dibenarkan untuk mewakili negeri masing-masing bagi membantu pasukan menghadapi Liga Negeri yang dijadualkan berlangsung pada September ini.

Ketika ini beberapa buah negeri iaitu Selangor dan Johor sudah mengesahkan bakal melangsungkan kejohanan berkenaan.

Fahmy mengakui akui pandemik Covid-19 bukan sahaja memberi kesan kepada negara ini tetapi juga rantau Asia dan pihaknya tidak dapat menentukan bilakah peluang untuk sukan itu kembali beraksi di padang.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Ogos 2020 @ 8:41 PM