KEPUTUSAN untuk kelima-lima pemain negatif. FOTO FB Kuching FA
KEPUTUSAN untuk kelima-lima pemain negatif. FOTO FB Kuching FA
Firdaus Hashim


LIMA pemain Kuching FA yang didapati positif Covid-19 kini berada dalam keadaan terkawal dan disahkan pulih daripada gejala itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Datuk Ab Ghani Hassan mendedahkan, penularan Covid-19 membabitkan pemain Kuching FA adalah berpunca daripada Kluster Hospital Sentosa.

Malah katanya, MFL sentiasa memantau keadaan pasukan Kuching FA sehingga mendapat kelulusan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di Kuching, Sarawak bagi tujuan kelulusan untuk mengadakan perlawanan persahabatan.

"Buat masa ini keputusan untuk kelima-lima pemain sudah negatif ketika diambil di hospital tempoh hari dan mereka sudah dipindahkan dari hospital ke Kompleks Belia dan Sukan di Kuching, Sarawak.

"Pihak hospital akan membuat pemantauan dari sana dan mereka akan dikuarantinkan selama 14 hari.

"Bagi pemain yang lain, kesemuanya didapati negatif untuk Ujian Calitatan (Swab Test) yang pertama dan ujian kedua akan dibuat esok sehingga Khamis depan di mana kesemua pegawai dan pemain akan tamat kuarantin pada 7 Ogos ini.

"Sementara itu, MFL dapat mengesahkan bahawa sifar kes berkaitan dengan pemain Kedah FA di mana pemain itu didapati bebas dari Covid-19 dan sudah dicaj keluar dari hospital pada 31 Julai lalu," katanya.

Sementara itu, beliau mengingatkan supaya kesemua pasukan mematuhi Standard Operasi Prosedur (SOP) yang ditetapkan oleh MFL ketika beraksi di dalam gelangang manakala SOP KKM ketika berada di luar venue dalam usaha memutuskan rantaian pandemik Covid-19.

"Nasihat saya adalah kesemua pasukan harus mematuhi SOP yang ditetapkan oleh MFL ketika menjalani sesi latihan atau bermain sukan kontak fizikal.

"Tidak dilupakan juga SOP KKM dengan mengamalkan memakai pelitup muka dan penjarakan fizikal di mana kita semua tidak boleh alpa atau leka kerana pemain serta pegawai sekarang adalah 'frontliner' untuk Liga Malaysia dan bersama kita melawan Covid-19," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Ogos 2020 @ 7:23 PM