Leno kembali jalani latihan. FOTO File Agensi
Leno kembali jalani latihan. FOTO File Agensi
Agensi

PERTAHANAN Arsenal, Shkodran Mustafi dijangka tersisih sehingga Oktober ini selepas menjalani pembedahan tetapi ada perkhabaran baik buat Bernd Leno dan Hector Bellerin menjelang final Piala FA, Sabtu ini.

Mustafi menjalani pembedahan kecil pada Sabtu lalu susulan kecederaan yang dialami ketika kemenangan separuh akhir Piala FA ke atas Manchester City.

Pemain pertahanan tengah itu dijangka terlepas permulaan musim depan ketika dia menempuhi proses pemulihan dan akan menjadi penonton apabila cubaan The Gunners menewaskan Chelsea di Wembley pada Sabtu ini untuk memburu peluang beraksi di saingan Liga Europa.

Mustafi terlepas aksi final Piala FA dengan lawan yang sama tiga tahun lalu berikutan masalah kesihatan tetapi dia melihat perkara itu dari sudut positif.

Shkodran Mustafi mengalami kecederaan.
Shkodran Mustafi mengalami kecederaan.

"Terlepas aksi final Piala FA buat kali kedua. Berita baik adalah pembedahan berjalan lancar dan saya bukan seorang individu yang mudah menyerah kalah," katanya di Twitter.

"Walaupun kecewa, saya terima secara terbuka situasi yang berlaku dan saya kini memberi tumpuan untuk segera pulih dan kembali ke padang."

Penjaga gol, Leno mengalami kecederaan otot pada lutut kanan ketika cuba menghalang penyerang Brighton, Neal Maupay melakukan rembatan bulan lalu.

Dia kini bersedia untuk kembali menjalani latihan penuh minggu depan.

Bellerin tidak diturunkan ketika kemenangan 3-2 ke atas Watford pada perlawanan terakhir musim Liga Perdana, Ahad lalu, berikutan kecederaan betis tetapi pemain pertahanan itu dijangka mampu beraksi semula.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Julai 2020 @ 11:01 AM