Presiden MOM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria
Presiden MOM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria
Ferzalfie Fauzi


MAJLIS Olimpik Malaysia (MOM) menjelaskan senarai sukan yang akan dipertandingkan di Sukan Sea 2021 di Vietnam hanya akan diketahui November ini.

Presiden MOM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berkata, tuan rumah perlu meneliti semua aspek selepas menerima rayuan daripada ahli gabungan untuk menambah jumlah sukan yang akan dipertandingkan.

"Sebanyak 22 sukan dan tiga acara mengemukakan rayuan bagi disenaraikan ketika Mesyuarat Jawatankuasa Sukan dan Peraturan Majlis Persekutuan Sukan SEA (SEAGF) hari ini," katanya dalam sidang media selepas mesyuarat berkenaan yang dijalankan secara persidangan video hari ini.

Ujar Norza disebabkan jumlah rayuan yang tinggi Vietnam meminta senarai sukan dipertandingkan tidak diputuskan dalam mesyuarat hari ini.

"Mereka perlu lihat dari semua aspek termasuk logistik dan gelanggang. Jadi, mereka akan kemukakan senarai akhir sukan yang akan dipertandingkan pada mesyuarat yang bakal berlangsung pada November.

"Seperti semua sedia maklum, penganjuran Sukan Sea adalah tertakluk kepada tuan rumah.

"Kita boleh meletakkan semua sukan ini, tetapi akhirnya tuan rumah akan lihat semua aspek dan implikasi. Mereka juga perlu lihat sokongan daripada negara yang terbabit," katanya.

Jelas Norza, terdapat 22 sukan yang merayu dan sukar untuk mereka membuat sebarang spekulasi kerana semuanya ada justifikasi masing-masing.

Vietnam sebelum ini mencadangkan 36 jenis sukan dipertandingkan pada Sukan Sea 2021.

Malaysia menerusi MOM mengemukakan rayuan untuk 11 sukan iaitu hoki dalam dewan, boling, pelayaran, kriket, papan selaju, sambo, floorball, bola jaring, boling padang, skuasy dan ragbi tujuh sebelah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Julai 2020 @ 8:19 PM