UiTM FC antara pasukan yang diberi kebenaran memulakan sesi latihan lebih awal.
UiTM FC antara pasukan yang diberi kebenaran memulakan sesi latihan lebih awal.
Firdaus Hashim


KETUA Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Datuk Ab Ghani Hassan menegaskan latihan fasa 1 bakal menjadi penanda aras penting buat pasukan sebelum pengendali liga tempatan itu melanjutkan proses kepada fasa 2.

Katanya, proses kepada fasa 2 iaitu latihan secara 'body contact' akan menjadi lebih cerah jika kesemua pasukan patuh serta disiplin mengikuti setiap prosedur operasi standard (SOP) ketika menjalani sesi latihan dalam fasa 1 tanpa 'body contact'.

"Fasa 1 amat penting kerana ia ujian kepada kita untuk mengikuti SOP yang ditetapkan kepada pasukan dan kejayaan ini akan menentukan bahawa akan membolehkan kita lagi maju ke depan iaitu menuju ke fasa 2.

"Ikutlah seperti apa ditetapkan SOP dalam mengekang virus Covid-19 dan paling penting untuk menunjukkan kepada kerajaan bahawa latihan bola sepak yang dikendalikan MFL tidak ada apa-apa masalah.

"Jika ini kita dapat buat dan pasukan boleh memberikan kerjasama dengan mengikuti setiap SOP, InsyaAllah kita di peringkat MFL akan memasukkan permohonan latihan fasa 2.

"Fasa 2 ini bermaksud pasukan atau pemain boleh melakukan latihan seperti biasa sebelum ini demi ke arah Liga Malaysia yang dijangka berlangsung pada September depan," katanya selepas berakhrinya Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah MFL ke-21, di Wisma FAM, di Kelana Jaya, hari ini.

Pasukan Negeri Sembilan menjadi pasukan pertama mendapat kebenaran menjalani latihan oleh MFL selepas Majlis Keselamatan Negara (MKN) memberikan kebenaran kepada semua pasukan untuk berlatih di bawah SOP yang ditetapkan.

Empat kriteria utama yang perlu dipatuhi adalah semua pasukan perlu melakukan ujian calitan atau 'swab test', melantik pengawai penyelaras, menamakan pusat latihan dan mendaftarkan melalui pautan miti.gov.my (MITI) selain venue juga perlu melakukan proses nyahkuman atau sanitasi.

Dalam perkembangan sama, beliau memberitahu setakat hari ini sudah menerima permohonan daripada tujuh pasukan Liga Malaysia dan pihaknya hanya meluluskan lima pasukan sahaja untuk memulakan sesi latihan.

"Setakat hari ini MFL hanya meluluskan lima sahaja pasukan iaitu wakil Liga Perdana, Negeri Sembilan, Selangor 2, dan wakil Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT), Selangor dan UiTM FC.

"MFL terpaksa menangguhkan permohonan dua pasukan kerana didapati masih ada dokumen yang belum lengkap semua pasukan untuk memulakan latihan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Jun 2020 @ 5:42 PM