NOORUL Ariffin menyampaikan sumbangan kepada Ahmad Sofian sambil diperhatikan isterinya, Hamizah dan skuad Yakeb Prihatin di Ipoh, hari ini. FOTO Ihsan Yakeb
NOORUL Ariffin menyampaikan sumbangan kepada Ahmad Sofian sambil diperhatikan isterinya, Hamizah dan skuad Yakeb Prihatin di Ipoh, hari ini. FOTO Ihsan Yakeb
Aida Adilah Mat


YAYASAN Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb) sentiasa prihatin terhadap kebajikan bekas atlet di bawah naungan mereka.

Terbaru menerusi skuad Yakeb Prihatin yang diketuai Pengerusinya, Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed bersama beberapa ahli jawatankuasa yang lain menerusi aktiviti 'Visit & Treat' berkunjung ke kediaman bekas penjaga gol hoki kebangsaan, Ahmad Sofian Ahmad Zulkifli.

Kunjungan ke kediaman bekas pemain kebangsaan di Ipoh, Perak itu dilakukan untuk melihat sendiri keadaan terkini Ahmad Sofian.

Pada kunjungan itu, Yakeb menyatakan persetujuan untuk membawa kes Ahmad Sofian ke Yayasan Institut Jantung Negara (Yayasan IJN) bagi mendapatkan pembiayaan.

"Ahmad Sofian pemain hoki dan penjaga gol yang pernah mewakili Malaysia ke Sukan Olimpik dan Piala Dunia. Buat masa ini kita akan cuba mencepatkan urusan beliau.

"Kita akan uruskan paramedik seminggu dua kali ke rumahnya dan akan mencepatkan rawatan di IJN yang mana kami akan cuba membawa beliau sehari sebelum ke IJN," katanya.

Sementara itu, isteri Ahmad Sofian iaitu Hamizah Osman berkata, suaminya diserang strok dan ia perlu diselesaikan terlebih dulu sebelum membolehkan rawatan jantung dilakukan.

"Terima kasih atas kunjungan Yakeb. Kami tak sangka ramai yang tampil membantu. Selain Yakeb, MHC (MHC (Konfederasi Hoki Malaysia), MSN (Majlis Sukan Negara), Menteri Besar Perak, perseorangan, saudara mara dan kawan-kawan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Jun 2020 @ 9:30 PM