CABARAN yang cukup besar akan ditempuhi oleh atlet berdepan normal baharu selepas PKP. FOTO Arkib NSTP
CABARAN yang cukup besar akan ditempuhi oleh atlet berdepan normal baharu selepas PKP. FOTO Arkib NSTP
Datuk Seri Jalani Sidek

BERSEDIA hadapi normal baharu. Sedar tak sedar sudah hampir dua bulan kita melalui tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik Covid-19.

Persoalan selepas ini ialah mampukah kita melalui kehidupan normal baharu sebaik tempoh PKP berakhir? Dalam konteks sukan, saya akui ia cabaran yang cukup besar akan ditempuhi oleh atlet.

Tidak kiralah sama ada anda atlet badminton, bola sepak dan sebagainya, kehidupan normal baharu pasti akan mengubah gaya hidup anda.

Contohnya Prosedur Operasi Standard (SOP) seperti penjarakan diri, kerap membasuh tangan dan memeriksa suhu badan perlu dipatuhi ketika menjalani latihan ataupun menyertai kejohanan.

Tidak semua atlet akan berasa selesa dengan normal baharu ini. Pasti ada antaranya yang kurang senang, sekali gus mungkin melanggar SOP ditetapkan.

Di sinilah kematangan dan kesabaran seseorang atlet itu dituntut. Tanpa kerjasama semua pihak termasuk atlet, maka pastinya sukar untuk kita mengamalkan normal baharu dalam kehidupan seharian.

Ingatlah, walaupun negara menampakkan penurunan kes jangkitan wabak itu, namun hakikatnya Covid-19 masih mengganas di seluruh dunia. Risiko untuk setiap daripada kita dijangkiti wabak itu masih tinggi.

Jadi mahu tidak mahu kita semua perlu mengamalkan normal baharu dalam kehidupan seharian. Saya berasakan kita perlu melalui kehidupan normal baharu ini sehingga tempoh enam bulan akan datang.

Selepas itu, sama-sama kita berdoa agar segala-galanya kembali pulih seperti sediakala. Jumpa lagi.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Mei 2020 @ 7:16 AM