Liridon (tengah) menjalani latihan bersama rakan sepasukan di JDT. FOTO File NSTP
Liridon (tengah) menjalani latihan bersama rakan sepasukan di JDT. FOTO File NSTP
Izzali Ismail


PERKHABARAN pemain naturalisasi Malaysia kedua iaitu Liridon Krasniqi yang sudah mendapat surat kelulusan daripada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa) untuk menyarung jersi keramat skuad Harimau Malaya mendapat reaksi membanggakan penyokong Kedah.

Ini kerana pemain yang berasal dari Kosovo dan telah beraksi bersama Kedah bermula 2015 hingga 2018 ini begitu dikenang jasanya selepas cemerlang mendakap kejayaan membanggakan bersama skuad Lang Merah ketika beraksi dalam Liga Malaysia (Liga M).

Menurut Jurucakap Kelab Penyokong Hijau Kuning (HKFC) Mohd Faizal Hafizi Nadzri, kemunculan pemain tinggi lampai dan juga pernah digelar 'jeneral padang' untuk pasukan Kedah ke dalam skuad Harimau Malaya ternyata memberi semangat baharu dan inspirasi buat seluruh penyokong Malaysia.

"Sebagai peminat Liridon, kami rasa tidak sabar untuk melihat aksi serta corak permainan licik dan menariknya selepas beliau mendapat taraf kewarganegaraan melalui penaturalisasian pada 3 Februari lalu dan kami jangka beliau mungkin akan menggalas tugas selaku perancang tengah yang baharu untuk skuad kendalian Tan Cheng Hoe nanti."

"Sebagai penyokong setia Kedah kami mahu mengucapkan selamat berjaya buat Liridon yang akan memulakan 'tugas baharu' nya bersama skuad Kebangsaan selepas ini, dan sebagai penyokong Kedah kami tetap berbangga dengan pengumuman ini meskipun beliau tidak lagi menyarung jersi Hijau Kuning."

"Aksi terbaik yang bergandingan dengan pemain tengah dari Brazil iaitu Sandro Da Silva ketika sama-sama mewakili Kedah beberapa tahun lalu sentiasa segar dalam ingatan kami dan tak mudah untuk kami lupakan." katanya dengan penuh semangat.

Faizal juga berkata pihaknya yakin Liridon merupakan Pemain Import Terbaik 2016 adalah pilihan yang tepat buat skuad negara berdasarkan kemampuannya menyerap taktikal disediakan oleh Tan Cheng Hoe yang sudah sebati dengannya sejak beliau bersama skuad Kedah dahulu.

"Liridon adalah anak didik Tan Cheng Hoe sejak sekian lama, dan pastinya komunikasi dan persefahaman antara kedua-duanya tidak perlu dipertikaikan lagi dan kami yakin kelebihan itu mampu melancarkan lagi setiap perancangan yang akan dilakukan.

"Liridon bijak melihat peluang, tangkas dalam membuat hantaran mendapatkan gol menjadikan Liridon pemain yang berjaya menonjol bersama Kedah," katanya.

Kejayaan raikan Liridon bersama Kedah bermula selepas menjuarai Liga Perdana 2015, juara Piala Malaysia 2016, juara Piala FA 2017, juara Piala Sultan Haji Ahmad Shah 2017 (Sumbangsih).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Mei 2020 @ 11:52 PM