AKSI pemain UKM FC ketika bertemu JDT II sebelum ini. FOTO FB UKM FC
AKSI pemain UKM FC ketika bertemu JDT II sebelum ini. FOTO FB UKM FC
Mohd Amin Jalil


PENGURUSAN skuad Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) FC berharap

pengendali Liga Malaysia (Liga-M), Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dapat berlaku adil dari segi kedudukan tuan rumah perlawanan, apabila liga bersambung kembali pada awal September depan.

Setiausaha Kehormat UKM FC, Mohd Fairus Shafie berkata, berdasarkan format baharu Liga M yang dinyatakan oleh MFL, hanya terdapat perlawanan membabitkan satu pusingan berbanding sebelum ini diadakan timbal balik kerana kesuntukan masa.

"Memang setakat ini kami belum menerima apa-apa maklumat lagi tentang kedudukan tuan rumah dan perkara berkaitan format baharu Liga M ini, namun kami yakin dan percaya perkara itu akan diperhalusi oleh MFL.

"Namun, kami berharap MPL dapat berlaku adil dari segi kedudukan itu kerana format perlawanan satu pusingan ini sememangnya suatu cabaran besar buat setiap pasukan termasuk UKM sendiri.

"Penetapan kedudukan tuan rumah juga penting kerana ia boleh mempengaruhi keputusan perlawanan dan setakat ini UKM baharu sekali menjadi tuan rumah daripada tiga perlawanan liga yang sudah diharungi," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mengulas lanjut mengenai format baharu itu, Mohd Fairus berkata, pihaknya sedar cabaran getir bakal diharungi UKM, namun yakin peluang skuad bimbingan Sulaiman Hussin untuk memberikan saingan dan meraih pencapaian terbaik tetap cerah.

Menurutnya, UKM sudah mengumpul empat mata hasil satu kemenangan dan satu seri dan terdapat baki lapan perlawanan yang akan ditempuh apabila Liga Perdana bersambung 1 September depan.

"Untuk itu, kami nasihatkan pemain supaya kekalkan tahap kecergasan kerana

perlawanan satu pusingan akan menuntut mereka memberikan komitmen 100 peratus dalam setiap perlawanan.

"Pemain tiada alasan, walaupun ketika ini tiada perlawanan kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi menangani penularan wabak Covid-19, tetapi mereka masih dibayar gaji.

"Oleh itu, pemain kena bertanggungjawab dan apabila tiba hari pertandingan nanti, pemain perlu pamerkan prestasi terbaik dan memastikan pasukan meraih kemenangan," katanya.

Mengenai keputusan MFL menyambung Liga M musim ini, Mohd Fairus berkata pihaknya menerima dengan hati terbuka dan yakin keputusan itu juga disambut baik pemain dan peminat.

"Kita (UKM FC) sememangnya mahu membuktikan sebagai sebuah pasukan yang terbaik musim ini dan walaupun format perlawanan satu pusingan, sasaran yang ditetapkan tetap sama iaitu kekal dalam Liga Perdana musim depan.

"Jika berjaya beraksi dalam Piala Malaysia musim ini adalah satu bonus," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Mei 2020 @ 8:52 PM