Agensi

KAPTEN Real Madrid, Sergio Ramos mahu memenangi trofi musim ini dan bersedia menunggu saingan kembali bersambung berikutan pandemik Covid-19.

Saingan La Liga ditangguhkan sejak bulan lalu kerana Covid-19, yang mengorbankan lebih 217,000 mangsa di seluruh dunia.

Kelab-kelab di Sepanyol hampir kembali menjalani latihan dan musim ini juga dilaporkan akan bersambung pada Jun ini.

Ramos mahu memberikan lebih banyak trofi buat Madrid, yang menduduki tangga kedua dalam carta La Liga dan berada dalam kelompok 16 terakhir sebelum kempen itu dihentikan.

"Kesihatan semua orang tidak akan diletakkan dalam keadaan berisiko. Saya tidak sabar untuk kembali beraksi, kembali bersaing, bermain dalam La Liga dan Liga Juara-Juara," katanya menerusi laporan AS ketika mengelolakan Hari UNICEF Ramos.

"Saya bernafsu untuk menamatkan musim ini dengan kejuaraan namun kami perlu bersabar dahulu untuk mereka yang pakar mengenai semua ini membuat keputusan terbaik."

Sepanyol antara negara yang paling terjejas teruk kerana Covid-19 dengan lebih daripada 232,000 kes jangkitan serta mengakibatkan 23,800 kematian.

Ramos menggesa setiap orang untuk kekal mengikuti garis panduan di negara itu.

"Kita tidak boleh menganggap bahawa semuanya sudah selesai, keseriusan mengenai perkara ini perlu dikekalkan." kata pemain pertahanan itu.

"Kita perlu mengikut garis panduan dalam usaha menamatkan virus ini dan memberikan ahli sains masa untuk menemui vaksin.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 April 2020 @ 1:25 PM