RAMLI menatap gambar kegemilangan silamnya. FOTO NAZRI ABU BAKAR.
RAMLI menatap gambar kegemilangan silamnya. FOTO NAZRI ABU BAKAR.
Nazri Abu Bakar

PELBAGAI latihan mampu dilaksanakan sendiri oleh pemain sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam meningkatkan stamina dan kecergasan masing-masing kerana yang paling penting mereka mesti rajin.

Bekas pemain Olimpik 1980 Ramli Junit berkata, komitmen dan kerajinan menjadi nadi utama kejayaan latihan sendiri dengan tidak hanya mengharapkan jadual latihan yang disusun jurulatih sahaja.

Malah pemain era lampau memiliki kerajinan luar biasa untuk meningkatkan stamina tanpa bergantung kepada latihan di padang walaupun ketika itu liga semi profesional dengan pemain terpaksa berkerja atau menoreh getah pada waktu pagi dan hanya berlatih sebelah petang.

Namun, mereka tidak pernah menjadikan ianya halangan sebaliknya memiliki stamina tinggi termasuk membantu skuad negara layak ke Olimpik dua kali pada 1972 dan 1980.

Sehubungan itu, pemain kini perlu kreatif dan rajin menjalani latihan walaupun sudah memenuhi kriteria yang ditetapkan jurulatih mereka setiap hari selepas tiada sebarang latihan sepanjang PKP.

Baginya, latihan yang disusun sebenarnya tidak cukup untuk mereka bersaing di padang bagi tempoh 90 minit berikutan ruang lingkup di rumah yang terhad dan terbatas.

“Justeru mereka dinasihat untuk menggandakan jadual harian dan mempelbagaikan aspek latihan termasuk kardio dan sedikit bebanan dengan bantuan ahli keluarga bukan sekadar sendirian dalam merealisikan latihan yang berkesan .

“Dalam masa sama larian setempat yang lebih kerap, lompat bertali dan bergayut di pokok dan dahan di dalam kawasan rumah serta berjalan kaki dan joging bagi yang tiada kemudahan peralatan gimnasium, juga antara usaha yang perlu dibuat lebih kerap,” katanya

Malah latihan kosong tanpa bola juga pastinya akan membosankan justeru mereka boleh menimbang dan melakukan kawalan bola dengan kedua-dua kaki sekali gus meningkatkan kemahiran dan menguatkan otot kaki.

Beliau berkata, latihan lebih kurang sama namun yang membezakan adalah kerajinan dan kesungguhan individu untuk konsisten berlatih tanpa menjadikan situasi semasa sebagai kekakangan.

Ramli berkata, walaupun status Liga Malaysia samada ditanggukan atau tidak dilangsungkan musim ini, pemain perlu terus menjalani latihan untuk memastikan berat badan seimbang.

Malah ianya juga mengekalkan kecergasan mereka walaupun ianya sebenarnya memerlukan latihan di padang dengan jarak yang selesa namun sekurang-kurangnya mereka melakukan alternatif persediaan memantapkan stamina.

Baginya, jika mental dan fizikal pemain sudah bersedia, sudah pasti seandainya liga diadakan tidak kira dalam tepoh terdekat, hujung tahun atau musim depan mereka sudah bersedia dengan pakej yang menyenangkan jurulatih dan pengurusan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 April 2020 @ 7:07 PM