PENGETUA Sekolah Sukan Malaysia Pahang (SSMP), Jalaluddin Ismail. FOTO Ihsan SSMP
PENGETUA Sekolah Sukan Malaysia Pahang (SSMP), Jalaluddin Ismail. FOTO Ihsan SSMP
Mohd Rafi Mamat


SEKOLAH Sukan Malaysia Pahang (SSMP) mengunakan aplikasi dikenali e-Pelaporan untuk atlet menghantar rakaman video mereka melakukan latihan di rumah sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pengetuanya Jalaluddin Ismail berkata, setiap atlet perlu menghantar rakaman video latihan yang mereka dilakukan di rumah kepada Penolong Kanan (PK) Sukan sebagai bukti selain sebagai penilian terhadap atlet.

Menurutnya, sistem yang dibangunkan itu turut memberi peluang kepada PK Sukan memberi cadangan kepada atlet jenis latihan yang sesuai dilakukan mengikut jenis acara yang diceburi atlet berkenaan.

Katanya, SSMP kini mempunyai seramai 312 pelajar yang terbabit dalam enam jenis sukan seperti olahraga, bola sepak, memanah, gimnastik artistik, bola jaring dan bola keranjang.

Selain mewakili negeri diperingkat kebangsaan terdapat juga dalam kalangan mereka terpilih bersaing dipentas antarabangsa.

“Kecergasan atlet sentiasa diberi tumpuan walaupun penguatkuasa PKP seluruh negara dilaksanakan, kita tidak mahu disebabkan berihat terlalu lama prestasi mereka terjejas.

“Justeru, setiap hari PK Sukan bertanggungjawab melihat rakaman video latihan yang dilakukan atlet di rumah masing-masing bagi menilai kecergasan mereka,” katanya, di sini hari ini.

Beliau menambah, selain menumpukan kepada prestasi atlet dalam acara sukan yang diceburi, pencapai akademik tidak pernah diketepikan terutama sepanjang PKP yang kini memasuki fasa ke tiga.

Jalaluddin berkata, jadual waktu dan pembelajaran secara e-Learning menggunakan ‘goggle classrooms’ dilaksanakan, guru berkomunikasi secara atas talian melalui WhatsApp, Instagram dan Telegram.

Katanya, guru subjek akan memantau pembelajaran setiap atlet dan hasil soal selidik yang dilakukan penerimaan pelajar begitu menggalakan.

“Selaku pengetua saya berpuas hati kesungguhan dipamerkan 15 jurulatih, mereka sentiasa memantau perkembangan atlet sepanjang PKP sejak 18 Mac lalu hingga sekarang,” katanya.

Bagi atlet lontar peluru Muhammad Firyal Asyqil Mohd Zawawi, program latihan di rumah yang disediakan jurulatih perlu dilakukan tiap hari selama sejam.

“Rakaman video latihan saya akan dihantar kepada jurulatih Siti Shahida Abdullah sebagai bukti latihan selain untuk penilaian terhadap jenis latihan yang lakukan.

“Saya perlu mengekalkan aktiviti latihan setiap hari walaupun terpaksa diadakan dalam rumah,” katanya yang kini menetap di Putrajaya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 April 2020 @ 7:37 PM