RAYZAM Shah (kiri) dan Grace Wong mengakui pernah ternampak serta berlatih bersama Jackie Wong di MSN Bukit Jalil. FOTO NSTP
RAYZAM Shah (kiri) dan Grace Wong mengakui pernah ternampak serta berlatih bersama Jackie Wong di MSN Bukit Jalil. FOTO NSTP
Syazwan Msar


SUASANA persekitaran Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN) mula ‘kecoh’ dengan rata-rata atlet sudah takut atau bimbang menjadi mangsa seterusnya dijangkiti Covid-19.

Kebanyakan atlet negara mula mengetahui atlet baling tukul besi negara Jackie Wong dijangkiti Covid-19 menerusi aplikasi ‘WhatsApp’ pada pagi tadi seterusnya mereka diarahkan untuk menjauhi fasiliti MSN dan ISN bagi mengelak terkena wabak terbabit.

Atlet olahraga lari berpagara 110 meter negara, Rayzam Shah Wan Sofian berkata, kali terakhir dia melihat Jackie adalah beberapa hari lalu ketika ketika menikmati makan tengahari di dewan makan.

“Saya ada ternampak Jackie ketika makan di dewan makan namun setakat ini tidak menjalani latihan atau rawatan ketika dia berada menggunakan kemudahan MSN dan ISN.

“Sudah tentu bimbang dan takut kerana perkara ini sudah kecoh dalam kalangan atlet dan kami mula diarahkan untuk tidak keluar atau menjalani sebarang urusan.

“Jika diikutkan saya mahu pulang ke Keningau, Sabah pada Rabu ini namun tidak tahulah boleh atau tidak kerana semua atlet tidak dibenarkan keluar,” katanya, ketika dihubungi Arena Metro.

Sementara itu, atlet baling tukul besi wanita negara Grace Wong berkata, dia ada menjalani latihan bersama Jackie sebelum mangsa pulang ke Sarawak untuk berjumpa keluarganya.

“Saya antara individu yang bersama dengan dia menjalani latihan namun bernasib baik ketika itu dia belum lagi terkena jangkitan Covid-19.

“Selepas dia pulang dari Sarawak, ada beberapa atlet lain bersama dengan dia namun pemeriksaan dijalankan mendapat mereka tidak dijangkiti covid-19.

“Kami berharap dia pulih seperti biasa dan ketika ini semua yang mempunyai hubungan rapat dengannya perlu menjalani pemeriksaan lebih ketat,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Mac 2020 @ 5:01 PM