Syazwan Msar


KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) mengesahkan Jackie Wong menjadi atlet pertama didapati positif Covid-19.

Jackie yang juga atlet tukul besi negara dipercayai dijangkiti penyakit terbabit menerusi ayahnya yang sebelum ini disahkan positif Covid-19.

Menerusi kenyataan media itu, Menteri KBS, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, atlet terbabit sudah pulang ke Sarawak pada 11 Mac lalu dan dikuarantin di Hospital Sibu.

“Sebagai langkah segera untuk keselamatan dan kesihatan atlet pelbagai acara sukan, saya mengarahkan supaya fasiliti Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN) yang dikunjungi atlet itu untuk ditutup sementara bagi tujuan proses pembasmian atau sanitasi yang sepenuhnya.

“Dengan kerjasama dan mengambil kira nasihat dan arahan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) iaitu atlet, jurulatih dan pegawai yang pernah berhubung rapat (close contact) dengan atlet berkenaan akan diasingkan dan sudah dinasihati untuk ‘self-quarantine’ di asrama, menjalani ujian ‘screening’ dan menurut nasihat KKM yang selanjutnya,” katanya, di sini.

Mengikut rekod, atlet baling tukul besi negara berusia 28 tahun itu sebelum ini dua kali memecahkan rekod kebangsaan negara dan juga penyumbang pingat dalam acara terbabit sebelum ini di Sukan SEA Filipina.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Mac 2020 @ 3:55 PM