PFA berdepan tunggakan gaji pemain hampir setengah juta.
PFA berdepan tunggakan gaji pemain hampir setengah juta.
Firdaus Hashim


“DALAM akaun kami sebelum ini cuma ada RM46, macam mana nak bayar tunggakan gaji hampir setengah juta.”

Itu respons Presiden Persatuan Bolasepak Perlis (PFA), Zamri Ibrahim yang menyifatkan keputusan Jawatankuasa Status Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengarahkan PFA membayar tunggakan gaji kepada empat bekas pegawai termasuk potongan wajib pendapatan dan pampasan baki kontrak dengan jumlah keseluruhan RM500,000.

Jelas Zamri, keputusan badan induk bola sepak negara itu nyata tidak berasas dan dibuat tanpa bukti kukuh dengan pihaknya akan membuat rayuan mengenai tuntutan empat bekas pegawai PFA.

“Kami akan buat rayuan dan saya akan serahkan minggu depan supaya keputusan Jawatankuasa Status itu dilihat semula. Jawatankuasa Status tak boleh semudah itu membuat keputusan kerana kami pun tak ada bukti, betulkah mereka (bekas pegawai) ini bekerja selama tiga bulan.

“Selepas itu tak bekerja lepas kami nak kena bayar baki kontrak, jadi ia tak adil bagi kami. Lagipun ini kes lama di bawah pengurusan terdahulu, tapi saya tahu PFA tetap kena bertanggungjawab cuma saya harap biar tuntutan itu berasas.

“Apapun, kami akan kemukakan rayuan dan harap FAM dapat pertimbangkan kerana PFA bukan ada duit pun,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Kelmarin, Arena Metro melaporkan, tiga pasukan Liga Malaysia (Liga-M) diarahkan untuk menjelaskan tuntutan gaji pemain dan pegawai membabitkan Kelantan, PDRM dan Perlis.

Jawatankuasa Status FAM mengarahkan Kelantan membayar tunggakan gaji RM167,304 kepada bekas pemain pertahanan, Amirizdwan Taj Tajudin serta bekas pegawai, Mohd Hisham Jainudin RM11,166.

Selain Kelantan, PDRM turut diarahkan membayar tunggakan gaji berjumlah lebih RM100,000 kepada pegawai mereka.

PDRM dikehendaki membayar tunggakan gaji RM26,000 kepada bekas pemain skuad kebangsaan, Liew Kit Kong, bekas jurulatih musim lalu, E Elavarasan (RM60,000) serta penolong jurulatih, Wan Mustaffa Wan Ismail (RM43,000).

Bagaimanapun, PFA dilihat paling terkesan apabila dikehendaki membayar hampir setengah juta membabitkan empat pegawai iaitu Mohd Faizal Mohd Esahar (RM24,000 tunggakan gaji & RM120,000 pampasan baki kontrak), Mohd Hisham Jainudin (RM21,000 tunggakan gaji & RM55,741.95 pampasan baki kontrak), Ahmad Nizan Ariffin (RM21,000 tunggakan gaji & RM154,000 pampasan baki kontrak) dan Kamal Daut (RM18,000 tunggakan gaji & RM132,000 pampasan baki kontrak).

Malah, peluang untuk PFA menjelaskan segala tuntutan itu dilihat sukar ekoran penggantungan aktiviti bola sepak oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) sejak awal 2019.

Situasi itu menyaksikan segala pembangunan bola sepak Perlis boleh dikatakan sudah ‘mati’ dan hanya tinggal kenangan dengan semua peringkat atau kategori tidak boleh disertai oleh mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Mac 2020 @ 6:00 AM