STADIUM  Sultan Ibrahim venue perlawanan Piala Sumbangsih.  FOTO Mohd Azren Jamaludin
STADIUM Sultan Ibrahim venue perlawanan Piala Sumbangsih. FOTO Mohd Azren Jamaludin
Rizar Mohd Noor


LIGA Bolasepak Malaysia (MFL) mengesahkan menerima salinan surat daripada Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) berhubung permintaan tiket bagi perlawanan Piala Sumbangsih membabitkan Johor Darul Ta'zim (JDT) menentang Kedah di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Jumaat depan.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ghani Ab Hassan berkata, surat permintaan KFA sudah diterima mengenai permintaan persatuan itu untuk mendapatkan 1000 keping tiket yang akan dijual kepada penyokong Kedah yang mahu menyaksikan perlawanan berkenaan.

"Untuk makluman, MFL ada manual yang ditetapkan berhubung pembahagian tiket untuk penyokong pasukan tuan rumah dan pelawat. Ada tiga kategori ditetapkan iaitu stadium yang bawah kapasiti 20,000 penonton, tuan rumah boleh memberi tiket kepada pelawat hanya 300 tiket.

"Kedua, stadium berkapasiti 20,000 hingga 40,000, tuan rumah boleh dibenarkan sediakan tiket kepada pasukan pelawat maksimum 500 tiket dan kapasiti stadium baharu JDT adalah 35,000. Jadi KFA mungkin akan dapat 500 tiket sahaja.

"Atas kapasiti tempat duduk penyokong 40,000 hingga 80,000, maka tuan rumah boleh beri tiket kepada pasukan pelawat sejumlah 1000 tiket dan jika KFA inginkan 1000 tiket ia bergantung kepada budi bicara kelab JDT dan ketetapan manual dibuat Ahli Lembaga Pengarah MFL," katanya ketika ditemui di majlis perasmian Stadium Sultan Ibrahim, semalam.

Sebelum ini, Setiausaha Kehormat KFA, Asmirul Anuar Aris dalam media sosialnya baru-baru ini berkata, pihaknya dihujani pelbagai panggilan serta surat permohonan oleh penyokong Kedah bagi mendapatkan kuota tiket menyaksikan perlawanan itu.

Beliau mendakwa kelab JDT masih belum memberi sebarang maklum balas mengenai permintaan tiket untuk aksi Jumaat ini dan berharap agar usaha untuk mendapatkan 1000 tiket untuk dijual kepada penyokong skuad Lang Merah berhasil.

Namun dengan penjelasan MFL itu, kemungkinan hasrat KFA mendapat kuota 1000 keping tiket tidak kesampaian dan mungkin hanya 500 keping tiket bakal disediakan berdasarkan ketetapan MFL.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Februari 2020 @ 12:20 PM