ARTETA puji penyokong sudah boleh menerima persembahan Arsenal. FOTO Afp
ARTETA puji penyokong sudah boleh menerima persembahan Arsenal. FOTO Afp
AFP

MIKEL Arteta percaya Arsenal akhirnya berjaya menyumbuhkan hubungan dingin mereka dengan penyokong yang kecewa.

Ketika Arteta dilantik menggantikan Unai Emery bulan lalu sebagai pengurus Arsenal, pengendali kelahiran Sepanyol itu tiba untuk menyelesaikan masalah penurunan prestasi pemain dan menggembirakan kembali peminat yang kecewa.

Punca utama adalah disebabkan prestasi buruk Arsenal beberapa tahun kebelakangan ini dan ia menjadi tegang apabila pemain tengah, Granit Xhaka diherdik oleh penyokong sendiri ketika aksi menentang Crystal Palace.

Arteta yang juga bekas pemain tengah Arsenal bekerja keras untuk memulihkan keadaan berkenaan dan bayangan ia semakin positif dapat dilihat ketika mereka mencatat keputusan seri menentang Sheffield United semalam.

The Gunners berada di depan hasil gol pembukaan Gabriel Martinelli namun John Fleck berjaya meledak gol penyamaan, menyaksikan Arsenal kekal di tangga ke-10 selepas hanya mencatatkan satu kemenangan daripada tujuh perlawanan.

Tidak seperti sebelum ini, di mana mereka dikutuk dan diherdik penyokong ketika beberapa aksi terakhir Emery, Arteta tampil memuji penyokong kerana sentiasa berada di belakang pemain dalam aksi menentang The Blades.

“Peminat kali ini sangat luar biasa. Mereka sentiasa berada di belakang pasukan dan mereka manghargai setiap usaha dilakukan pemain.

“Saya berterima kasih kepada mereka berbanding sebulan yang lalu, saya rasa kali ini auranya sangat berbeza,” kata Arteta.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 January 2020 @ 10:01 PM