Zii Jia mengaku dia juga tidak pernah berasa selamat.
Zii Jia mengaku dia juga tidak pernah berasa selamat.
Oleh Saiful Affendy Sapran


“Tiada pemain yang 100 peratus akan selamat di BAM (Persatuan Badminton Malaysia).” Demikian tegas pemain perseorangan utama negara, Lee Zii Jia yang mengaku dia juga tidak pernah berasa selamat daripada risiko disingkirkan walaupun dilihat sebagai 'anak emas' BAM.

Katanya, tindakan terbaru BAM yang menyingkirkan tujuh pemain berikutan gagal mencapai prestasi ditetapkan menunjukkan badan itu benar-benar serius dan sebagai pemain, dia harus membuktikannya melalui prestasi cemerlang di atas gelanggang.

“Selepas apa yang diumumkan oleh BAM, bagi saya tiada pemain yang boleh berasa selamat. Jika anda lihat ada pemain seusia dengan saya iaitu Tan Jia Wei turut disingkirkan.

“Saya sendiri tidak pernah menjangkakan dia akan tersingkir. Mungkin orang cakap saya paling selamat tetapi saya tetap ambil berat berhubung perkara ini.

“Jika dalam tempoh setahun anda tidak mempunyai pencapaian yang baik, maka anda perlu bersedia berdepan sebarang kemungkinan termasuklah dibuang,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan menjelang saingan Masters Malaysia.

Jumaat lalu, Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh mengumumkan senarai tujuh pemain yang disingkirkan daripada badan induk itu selepas gagal mencapai prestasi ditetapkan.

Tujuh pemain yang dimaksudkan ialah juara perseorangan lelaki Siri Antarabangsa Malaysia tahun lalu, Soong Joo Ven dan beregu lelaki berpengalaman, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi.

Empat lagi pemain menerima nasib sama ialah dua pemain perseorangan lelaki, Jia Wei dan Ziyad Md Tah, serta dua beregu wanita, Lim Peiy Yee dan Lim Chiew Sien.

Bagaimanapun tindakan penyingkiran tidak terhenti di situ, sebaliknya 39 pemain senior yang masih kekal akan melalui satu lagi penilaian semula pada 30 April depan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 January 2020 @ 6:10 AM