HAIQAL bertanding di China bulan depan.
HAIQAL bertanding di China bulan depan.
Iskandar Shah Mohamed


BIARPUN tidak meletakkan sasaran pingat, Muhammad Haiqal Hanafi berazam merekodkan catatan terbaik pada Kejohanan Olahraga Dalam Dewan Asia di China, bulan depan. 

Kejohanan yang kali pertama disertai raja pecut Asia Tenggara itu turut akan menguji kemampuannya untuk bersaing dalam acara pecut 60 meter (m). 

"Kejohanan Dalam Dewan itu pembuka tirai musim ini dan semestinya saya mahu mempamerkan larian terbaik.  Tiada sasaran pingat diletakkan namun saya mahu memberi saingan sekali gus memperoleh catatan masa terbaik nanti," katanya kepada Arena Metro.  

Cabaran di Hangzhou pada 12 dan 13 Februari depan itu turut bakal digalas tujuh atlet lain antaranya Lee Hup Wei/ Nauraj Singh Randhawa /Yap Sean Yee (lompat tinggi), Muhammad Hakimi Ismail (lompat kijang) dan Andre Anura Anuar (lompat jauh).  

Dalam pada itu, Haiqal mengakui turut mempunyai sasaran lain termasuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik Tokyo tahun ini. 

"Jika diizinkan Allah, tidak mustahil saya dapat turut menyertai temasya terbesar dunia itu.  Apa yang saya perlu lakukan kini adalah terus menjalani rutin latihan untuk meningkatkan prestasi sedia ada," katanya. 

Pada Sukan Sea Filipina bulan lalu, gelaran lelaki terpantas rantau ini kekal milik Malaysia selepas Haiqal mengungguli acara 100m dengan catatan 10.35 saat sekali gus mencipta catatan peribadi terbaiknya. 

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 January 2020 @ 11:18 PM