MEGAT D Shariman. FOTO Owee Ah Chun
MEGAT D Shariman. FOTO Owee Ah Chun
Ferzalfie Fauzi

MAJLIS Paralimpik Malaysia (MPM) menghantar surat bantahan kepada Jawatankuasa Paralimpik Filipina bagi meluahkan rasa tidak puas hati dengan penangguhan Sukan Para Asean Filipina.

Menurut presidennya, Datuk Seri Megat D Shariman Zaharudin, mereka juga akan ke Bangkok untuk berbincang dengan Persekutuan Sukan Para Asean (APSF) untuk mencari jalan penyelesaian berhubung perkara berkenaan.

“Pertamanya, MPM, Majlis Sukan Negara (MSN) dan atlet berasa hampa dan amat sedih selepas sudah melakukan persiapan untuk temasya ini,” katanya dalam sidang media, semalam.

Ujarnya, banyak wang dibelanjakan untuk kem latihan termasuk menempah pelbagai kemudahan serta penerbangan dan hotel.

“Perkara yang berlaku ini memang tidak adil (menangguhkan Sukan Para Asean dari Januari ke Mac). Ada baki 18 hari lagi sebelum temasya bermula tapi kami terkejut dengan penangguhan ini.

“Sebelum ini kami tidak mempunyai maklumat mengenai penangguhan walaupun dua minggu lalu ada wakil dari Polis Diraja Malaysia (PDRM) ke sana,” katanya yang juga Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan Para Asean Filipina.

Ditanya adakah kontinjen negara akan menimbang untuk menarik diri daripada menyertai temasya berkenaan sekiranya tuan rumah tetap dengan keputusan itu, beliau berkata, ia bergantung kepada apa yang bakal berlaku nanti.

“Kita tunggu apa yang akan berlaku. Selepas itu kita akan maklumkan kemudian. Sekarang kita hanya sedih dan saya dapat rasakan apa yang atlet rasa. Selain itu, Mac juga bakal berlangsungnya kejohanan peringkat antarabangsa yang mengambil kira mata ke Sukan Paralimpik Tokyo 2020. Jadi kita akan melihat mana lebih penting,” katanya.

Megat D Shariman juga menyambut baik cadangan MSN agar diadakan kejohanan mini paralimpik pada Januari dan Februari sekiranya tuan rumah berkeras untuk menganjurkan Sukan Para Asean pada Mac depan.

Filipina memberi alasan faktor kewangan menyebabkan mereka terpaksa menunda tarikh asal temasya yang bermula 18 Januari kepada Mac depan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Disember 2019 @ 6:18 AM