Jin Wei akan kembali berlatih. FOTO NSTP
Jin Wei akan kembali berlatih. FOTO NSTP
Saiful Affendy Sapran


PEMAIN perseorangan wanita negara, Goh Jin Wei sudah mendapat lampu hijau daripada doktor untuk turun menjalani latihan ringan.

Dia selamat mengharungi pembedahan membuang sebahagian daripada ususnya pertengahan bulan lalu.

Jin Wei berkata, sejak minggu lalu dia sudah menjalani latihan ringan dan mensasarkan untuk kembali beraksi pada tahun depan.

"Doktor beritahu saya perlu merangsang pergerakan badan. Bermakna saya tidak boleh hanya baring di atas katil.

"Ketika ini saya rasa lebih baik dan seperti individu biasa. Saya perlukan beberapa minggu lagi untuk dapat kembali menjalani latihan penuh.

"Saya boleh katakan tahap pemulihan ketika ini sebanyak 50 peratus," katanya.

Jelas Jin Wei, tidak mungkin untuknya dapat beraksi di saingan Masters Malaysia Januari ini selain sudah putus harap untuk layak ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

"Jika saya mahu turun beraksi, saya perlu pastikan dapat pulih sepenuhnya.

"Saya juga tidak kisah dengan kedudukan ranking yang semakin jatuh kerana sudah menjangkannya selepas mengambil keputusan untuk menjalani pembedahan," katanya.

Jin Wei ditemui pada majlis sambungan tajaan Daihatsu dan Perodua untuk kejohanan Masters Malaysia selama dua tahun dengan yang pertama dijadualkan berlangsung dari 7 hingga 12 Januari tahun depan di Axiata Arena diikuti seterusnya pada 2021.

Kejohanan yang berstatus Super 500 itu menawarkan hadiah keseluruhan bernilai AS$400,000 (RM1.6 juta).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 November 2019 @ 5:09 PM