Aidil Sharin bersama seorang staf dari Kelab Sagan Tosu di Jepun. FOTO Ihsan Pembaca
Aidil Sharin bersama seorang staf dari Kelab Sagan Tosu di Jepun. FOTO Ihsan Pembaca
Izzali Ismail


PEMAIN import kuota Asia untuk posisi tengah terus menjadi buruan Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) di Jepun apabila ketua jurulatihnya, Aidil Sharin Sahak mengesahkan berada di negara matahari terbit sejak tiga hari lalu untuk memilih calon pemain.

Pemilihan pemain import baharu ini juga besar kemungkinan bagi menggantikan posisi tengah yang diisi oleh pemain import berpengalaman Kyrgyzstan, Edgar Bernhadt pada musim ini.

Menurut Aidil, menerusi lawatan ke Jepun termasuk berkunjung ke Kelab Sagan Tosu yang beraksi di Liga Jepun (J1 League) ini, dia berkesempatan meninjau dan membuat pemilihan calon pemain yang bersesuaian dengan perancangan yang diatur Kedah.

"Sepanjang lima hari di Jepun ini, saya akan mengadakan beberapa perbincangan dengan pemilik kelab di Jepun dan akan melihat beberapa calon pemain sebagai persiapan pasukan Kedah untuk musim depan."

"Saya berharap dengan persediaan yang dilakukan ini dapat memberi ruang untuk Kedah mendapatkan pemain terbaik seperti yang dirancangkan bagi menghadapi musim 2020.” katanya.

Ditanya mengenai sebarang keputusan yang dicapai setakat ini, Aidil berkata masih belum selesai melengkapkan tugas yang dilakukan.

"Setakat ini belum ada pilihan muktamad dan proses pemilihan masih berjalan sepanjang tempoh saya di sini.

"Saya masih menilai dan akan ada lagi beberapa pemain yang akan saya lihat pada hari ini.” katanya.

Aidil berada selama lima hari di Jepun bagi melihat calon pemain yang bersesuaian selepas mendapat undangan daripada pemilik kelab Sagan Tosu yang juga pemilik Liga J1 Jepun (J1 League) yang telah mengadakan perbincangan dan kerjasama dengan KFA sejak April lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 November 2019 @ 11:58 AM