STERLING kunci utama kejayaan City sejak dua musim lalu. — FOTO Reuters
STERLING kunci utama kejayaan City sejak dua musim lalu. — FOTO Reuters
AFP

PERSAINGAN Manchester City dan Liverpool sebagai dua kuasa utama dalam Liga Perdana Inggeris menyaksikan setiap perlawanan akhir-akhir ini semakin mengujakan, termasuk pertembungan terbaharu Ahad ini.

Tiada pemain yang lebih teruja berbanding Raheem Sterling yang akan kembali ke Anfield.

Sterling mencipta nama sebagai pemain remaja pada musim 2013-14 ketika persembahan turun naik menyaksikan Liverpool gagal dalam usaha mereka menamatkan kemarau kejuaraan liga.

Dua tahun kemudian, dia meninggalkan Anfield dalam suasana kurang senang ketika Liverpool bergelut di tengah padang selain pertikaian mengenai kontraknya.

STERLING (dua kiri) mencipta banyak kejayaan bersama City. — FOTO Agensi
STERLING (dua kiri) mencipta banyak kejayaan bersama City. — FOTO Agensi

Empat setengah tahun berlalu, tiada siapa meragui siapa yang lebih beruntung hasil perjanjian £50 juta (RM265 juta) yang membawanya ke City.

Sterling semakin menyinar di bawah kendalian Pep Guardiola, menjadi tonggak utama dalam dua kempen kejuaraan City sejak dua musim lalu, manakala penantian Liverpool bagi kejuaraan liga berlanjutan kepada 30 tahun.

Sterling pergi hanya tiga bulan sebelum Juergen Klopp tiba di Anfield untuk membentuk semula Reds selepas musim yang mana mereka berakhir di tangga keenam, 17 mata di belakang City.

Liverpool masih belum berjaya mengatasi juara Inggeris itu dalam empat musim kendalian Klopp namun jurang itu menjadi hanya satu mata ketika City mengetepikan mereka musim lalu.

STERLING ketika menyarung jersi Liverpool pada 2015. — FOTO Agensi
STERLING ketika menyarung jersi Liverpool pada 2015. — FOTO Agensi

Namun Liverpool akan memulakan pertembungan dua pasukan teratas Ahad ini dengan perbezaan enam mata di depan City dalam perebutan kejuaraan.

Bagi kelab dan negara, Sterling sudah menjaringkan 18 gol dalam 20 penampilan, termasuk gol pertamanya menentang Liverpool ketika City menang Perisai Komuniti Ogos lalu.

“Semua pujian buatnya,” kata Guardiola selepas hatrik Sterling menentang Atalanta dalam aksi Liga Juara-Juara baru-baru ini.

“Fizikalnya menakjubkan. Dia tetap kuat sehari selepas perlawanan, dia boleh bermain satu perlawanan lagi. Dia boleh bermain di kedua-dua sayap, pantas, sering membantu kami ketika bertahan, jadi dia seorang pemain luar biasa.”

Kehebatan Sterling menjadi kunci jika City mahu menyekat momentum Liverpool dan mencetus kekalahan pertama liga di Anfield buat tuan rumah sejak April 2017.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 November 2019 @ 12:17 PM