SAFAWI sempat berswafoto bersama penyokong di Stadium Shah Alam selepas tamat perlawanan menentang Selangor.
SAFAWI sempat berswafoto bersama penyokong di Stadium Shah Alam selepas tamat perlawanan menentang Selangor.
Firdaus Hashim


KETAJAMAN dua penggempur Johor Darul Ta'zim (JDT), Safawi Rasid dan Syafiq Ahmad yang masing-masing meledak satu gol pada final Piala Malaysia menentang Kedah di Stadium Nasional Bukit Jalil Sabtu lalu, diharapkan terus mempamerkan ketajaman apabila turun membantu skuad Harimau Malaya dalam tiga aksi antarabangsa selepas ini.

Skuad kendalian Tan Cheng Hoe yang sudah memulakan kem latihan bagi persiapan aksi persahabatan menentang Tajikistan Sabtu ini serta Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 bertemu Thailand (14 November) dan Indonesia (19 November) dengan semua aksi di Bukit Jalil sudah tentunya menagih sentuhan berbisa gandingan '2S' itu.

Jelas Cheng Hoe, beliau mengharapkan kedua-dua pemain itu dapat mengekalkan prestasi cemerlang ketika membenam skuad Helang Merah 3-0 di final Piala Malaysia itu.

“Barisan serangan kita memang selalu menjadi bahan pertikaian namun selepas perlawanan peringkat separuh akhir dan pentas final Piala Malaysia, Safawi dan Syafiq menampilkan prestasi yang baik.

“Saya harap kedua-dua pemain ini dapatkan mengekalkan prestasi dan tahap keyakinan mereka bagi perlawanan pasukan negara. Namun, saya selalu menegaskan kepada anak-anak buah saya bahawa kekuatan pasukan bukan terletak di tangan dua atau tiga pemain. Kita perlu bekerja sebagai satu unit,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan pasukan.

Skuad Harimau Malaya yang sudah mengharungi tiga aksi peringkat kelayakan Kumpulan G sekadar menghuni tangga keempat dengan memungut tiga mata.

Pungutan mata itu hasil kemenangan mengejut 3-2 ke atas pasukan Indonesia di Stadium Gelora Bung Karno pada 5 September lalu yang turut dicemari insiden rusuhan oleh penyokong tuan rumah hingga mengakibatkan skuad Harimau Malaya terpaksa meninggalkan stadium dengan menaiki kereta perisai Barracuda. Bagaimanapun, kejayaan tiga mata pertama itu gagal diteruskan dalam dua aksi berikutnya apabila tewas 1-2 kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE) di Bukit Jalil sebelum tunduk 0-1 di tangan Vietnam di Hanoi.Lantas, bagi menghidupkan peluang Malaysia pada kempen kali ini, skuad negara perlu memanfaatkan aksi di tempat sendiri dengan wajib melakar kemenangan ke atas skuad Gajah Perang dan Garuda di depan penyokong tempatan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 November 2019 @ 9:43 PM