BADDROL (kanan) ketika beraksi bersama Harimau Malaya pada perlawanan persahabatan menentang Macau tiga tahun lalu. — FOTO Rasul Azli Samad
BADDROL (kanan) ketika beraksi bersama Harimau Malaya pada perlawanan persahabatan menentang Macau tiga tahun lalu. — FOTO Rasul Azli Samad
Syazwan Msar


CEMERLANG memimpin Kedah ke final Piala Malaysia menyaksikan kaptennya Baddrol Bakhtiar dipanggil semula bagi kem latihan pusat Harimau Malaya menjelang aksi menentang Tajikistan, Thailand dan Indonesia.

Baddrol bersama 25 pemain lain akan menjalani latihan sebagai persiapan menghadapi aksi persahabatan antarabangsa bertemu Tajikistan pada 9 November ini seterusnya dua aksi pusingan kelayakan Piala Dunia 2022 menentang Thailand (14 November) dan Indonesia (19 November) di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Menurut senarai dikeluarkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini, jurulatih Tan Cheng Hoe mengekalkan 19 pemain daripada skuad 23 pemain yang tewas 0-1 kepada Vietnam di Hanoi, 10 Oktober lalu.

Namun, empat pemain digugurkan iaitu penjaga gol Perak, Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy, pertahanan Kuala Lumpur, Irfan Zakaria serta dua pemain tengah, Akram Mahinan (PKNS FC) dan Halim Saari (Selangor).

Bagi melengkapkan senarai 26 pemain, Cheng Hoe memanggil tujuh pemain termasuk Nor Azam Azih (Pahang) dan Shahrel Fikri Fauzi (Perak) yang sebelum ini tercicir daripada senarai akhir 23 pemain ke Hanoi kerana kecederaan.

Semua pemain tersenarai itu akan melapor diri pada 3 November ini kecuali pemain yang beraksi pada final Piala Malaysia diberikan kelonggaran untuk hadir sesi latihan pada 4 November.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Oktober 2019 @ 6:40 PM