PASUKAN berbasikal lebuhraya SSTMI muncul juara individu dan berpasukan lelaki.
PASUKAN berbasikal lebuhraya SSTMI muncul juara individu dan berpasukan lelaki.
HM Digital

PELUMBA muda Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) mempamer kayuhan bertenaga untuk merangkul dua kejuaraan acara individu dan berpasukan lelaki pada Cabaran Berbasikal Varsiti (VCC) 2019 di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), semalam.

Gandingan Muhammed Fahem Muhammed Zaini, Muhammad Afiq Zharfan Mohd Abu Walfa dan Muhammad Aqil Amzar Rosli menewaskan juara bertahan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Saingan bagi acara lebuh raya sejauh 44.8 kilometer (km) itu nyata tidak menjejaskan rentak kayuhan semua pelumba berkenaan walaupun terpaksa menempuh kawasan sekitar UTeM yang dianggap mencabar.

Semangat berpasukan yang tinggi menyaksikan strategi menguasai kedudukan tiga teratas yang direncanakan, menjadi apabila tiba lebih awal ke garisan penamat.

Muhammad Fahem turut muncul juara individu dengan catatan masa 1:4:44s diikuti Mohd Afiq Zharfan dan Muhammad Aqil Amzar yang masing-masing berada tiga dan satu saat di belakang.

Ia sekali gus menyaksikan UKM sebagai pasukan pilihan terpaksa berpuas hati muncul naib juara berpasukan lelaki manakala Universiti Teknologi MARA (UiTM) di tempat ketiga.

Namun, hasrat SSTMI untuk menyapu bersih dan meranapkan impian UKM menerusi acara lebuh raya wanita sejauh 33.6 km tidak kesampaian.

Sebaliknya, universiti itu yang juga juara bertahan acara wanita ternyata lebih hebat dan berpengalaman.

Pelatih Sukan SEA Filipina, Nur Azrenna Ahmad Jumry mengetuai skuad UKM merangkul kejuaraan individu menerusi catatan masa 59:11s.

Wakil SSTMI muncul naib juara individu manakala Nurqadrina Emylia (UKM) muncul pemenang ketiga.

Edisi VCC kali kelima itu disertai 200 pelumba yang mewakili institusi pengajian tinggi (IPT) seluruh negara termasuk Brunei.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 November 2019 @ 4:45 AM