TIGA pemain Lille mengekang kemaraan pemain Ajax,  Lisandro Martinez (tengah) di  Amsterdam. - FOTO EPA
TIGA pemain Lille mengekang kemaraan pemain Ajax, Lisandro Martinez (tengah) di Amsterdam. - FOTO EPA
AFP

AJAX memulakan kempen Liga Juara-Juara dengan bergaya selepas menewaskan Lille 3-0 awal pagi tadi sekali gus menyemarakkan impian untuk mengulangi prestasi musim lalu yang menyaksikan mereka mara ke separuh akhir.

Jaringan Quincy Promes, Edson Alvarez dan Nicolas Tagliafico menghampakan Lille yang dikejutkan dengan penahanan 300 penyokong mereka berhampiran Johan Cruyff Arena beberapa jam sebelum bermula aksi Kumpulan H itu.

Skuad Erik ten Hag kini menduduki tangga teratas dengan tiga mata hasil kemenangan itu walaupun beraksi tanpa bintang seperti Frenkie de Jong dan Matthijs de Ligt yang berpindah pada musim panas.

"Kami mahu tiga mata dan mencipta permulaan sempurna,” kata Promes yang ditandatangani dari Sevilla.

"Berdasarkan prestasi musim lalu, sasaran kami kali ini juga tinggi. Penyokong kami turut bertanya adakah kami mampu melakukannya sekali lagi musim ini dan jaringan 3-0 memberi kami keyakinan.”

Babak pertama menyaksikan kedua-dua pasukan berbalas serangan dan pada minit ke-13 Hakim Ziyech yang mendapat hantaran Dusan Tadic merembat kencang tetapi sedikit tersasar.

Namun lima minit kemudian, Promes meletakkan tuan rumah di depan selepas menanduk masuk hantaran Tagliafico.

Alvarez menggandakan jaringan lima minit selepas rehat menerusi rembatan kencang dari sudut sukar dalam kotak penalti selepas mendapat hantaran cantik David Neres dan Tagliafico melengkapkan kemenangan tuan rumah menerusi tandukan kencang hasil hantaran sepakan sudut ketika permainan berbaki setengah jam.

"Malam fantastik buat Ajax dan penyokong. Kami beraksi menentang skuad yang bagus dan hampir melakukan kesilapan namun mujur penjaga gol tangkas menyelamatkan gawang,” kata Ten Hag.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 September 2019 @ 8:26 AM