AKSI pemain Villa, Frederic Guilbert melakukan tandukan ke gawang West Ham. - FOTO Reuters
AKSI pemain Villa, Frederic Guilbert melakukan tandukan ke gawang West Ham. - FOTO Reuters
Reuters

WEST Ham United yang beraksi 10 pemain bagi tempoh 23 minit terakhir seri 0-0 di Aston Villa dalam aksi Liga Perdana, awal pagi tadi.

Keputusan itu membolehkan Hammers naik ke tangga kelapan manakala Villa satu anak tangga di atas zon penyingkiran dengan empat mata daripada lima perlawanan.

Arthur Masuaku dibuang padang pada minit ke-67 selepas mengutip kad kuning kedua susulan kekasaran lewat ke atas Ahmed El Mohamady.

Peluang terbaik Villa diperolehi dua minit sebelum tamat perlawanan tetapi Jack Grealish gagal menyempurnakan hantaran pemain gantian Douglas Luiz ke dalam kotak penalti.

Pasukan tuan rumah mempunyai lebih peluang dalam aksi di Villa Park itu dengan dua kali percubaan John McGinn diselamatkan Lukasz Fabianski.

Dalam aksi babak pertama, dua pemain Villa, Anwar El Ghazi dan Tyrone Mings nyaris bergaduh sesama sendiri tetapi tiada tindakan diambil pengadil.

Grealish berkata insiden itu tidak perlu diperbesarkan tetapi mengakui dia mampu melakukan lebih baik dengan peluang yang ada.

"Ia prestasi yang bercampur baru. Pada babak pertama kami pasukan lebih baik dan miliki lebih banyak peluang, mungkin juga pada awal babak kedua.

"Saya rasa selepas mereka kehilangan seorang pemain, kami seperti beraksi tergesa-gesa dan akhirnya kehilangan bola. Prestasi kami semakin buruk selepas mereka beraksi 10 pemain,” katanya.

Pemain tengah England, Declan Rice berkata skuad London itu gembira mengelak kekalahan selepas kehilangan seorang pemain apatah lagi beraksi di tempat lawan.

"Kami puas hati dapat satu mata. Kami perlahan pada babak pertama dan pada babak kedua dengan beraksi 10 pemain menjadi lebih sukar. Tetapi kami masih mampu mencipta peluang.

“Jika ini West Ham musim lalu, sudah pasti kami kalah,” katanya.

EL Ghazi dan Mings tidak puas hati sesama sendiri. - FOTO Reuters
EL Ghazi dan Mings tidak puas hati sesama sendiri. - FOTO Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 September 2019 @ 7:03 AM