Nabil anggap permulaan bagus juarai AFF B-16. FOTO NSTP
Nabil anggap permulaan bagus juarai AFF B-16. FOTO NSTP
Ferzalfie Fauzi


PENGALAMAN diraih penjaring terbanyak negara, Nabil Qayyum Zainuddin di Kejohanan AFF Bawah 16 Tahun (B-16) akan digunakan sebaik mungkin di pentas lebih besar iaitu kelayakan AFC B-16 bulan depan.

Nabil Qayyum yang meledak lima gol di Chonburi, Thailand minggu lalu antara perkara dipelajarinya di kejohanan Asia Tenggara itu ialah mengatasi pemain lawan bertubuh besar.

"Dalam masa sama kami juga belajar bagaimana untuk berdepan dengan penyokong yang menggunakan perang psikologi ketika cuba membantu pasukan mereka di atas padang," katanya meledak gol kemenangan ketika membantu Malaysia menumpaskan Thailand 2-1 di pentas akhir.

Ujar Nabil Qayyum, kelayakan AFC B-16 adalah satu kejohanan yang lebih besar berbanding AFF B-16 dan dia bersama rakan sepasukan harus memgandakan latihan jika berazam mengetepikan cabaran Jepun, Laos dan Kemboja dalam Kumpulan J.

"Latihan yang lebih keras memang sangat diperlukan kerana dari situ kami boleh memantapkan bahagian serangan dan pertahanan. Kami juga berpeluang untuk memperbaiki kelemahan, seterusnya melayakkan diri ke kejuaraan AFC B-16.

"Pengalaman di Chonburi akan digunakan sebaik mungkin kerana ketika itu kami lebih banyak mengharapkan strategi kerana pemain lawan menggunakan kelebihan fizikal mereka," katanya.

Dia berkongsi kedudukan penjaring kedua terbanyak kejohanan bersama Marselino Ferdinan (Indonesia) selepas keseluruhan meledak lima gol sepanjang kejohanan berkenaan.

"Saya bangga dapat membantu pasukan mencapai kejayaan dan bagi saya ia satu permulaan yang bagus.

Bagaimanapun, perjalanan saya masih lagi jauh dan harap segala kelemahan dari segi persembahan saya mampu diperbaiki lagi selepas ini," katanya.

Tahun lalu di kejuaraan AFC B-16, Malaysia terkandas di peringkat kumpulan selepas hanya memungut tiga mata, hasil kemenangan tunggal 6-2 ke atas Tajikistan di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Dua lagi perlawanan menyaksikan Malaysia tewas 2-4 menentang Thailand dan kalah 0-2 kepada Jepun.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Ogos 2019 @ 5:34 PM