ZII Jia akan bertemu Chou Tien Chen dari Taiwan pada separuh akhir esok. β€” FOTO Nur Adibah Ahmad Izam
ZII Jia akan bertemu Chou Tien Chen dari Taiwan pada separuh akhir esok. β€” FOTO Nur Adibah Ahmad Izam
Ferzalfie Fauzi


SESUDAH enam kali terkandas pada suku akhir tahun ini, pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia memecah kebuntuan apabila mara ke separuh akhir Terbuka Thailand, hari ini.

Zii Jia menjadikan pemain Indonesia, Shesar Hiren Rhustavito sebagai mangsanya di Stadium Tertutup Huamark, Bangkok selepas menang 11-21, 21-14, 21-13 dalam tempoh 50 minit.

β€œIa bagaikan memecah kebuntuan buat saya selepas enam aksi terkandas di suku akhir sebelum ini. Hari ini saya menyatakan kepada diri sendiri perlu menang perlawanan menentang Shesar,” katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Menurut pemain dari Kedah berusia 21 tahun itu, dia tidak mahu terlalu gembira dan meraikan kemenangan itu kerana masih mempunyai aksi esok.

Sebelum ini Zii Jia tersungkur pada suku akhir Masters Thailand, Masters Malaysia, Masters Indonesia serta Terbuka Jerman, Terbuka New Zealand dan Terbuka Indonesia.

Sementara itu, perjalanan pemain perseorangan wanita negara, Soniia Cheah terhenti pada suku akhir apabila ditunjukkan jalan keluar oleh Chen Yufei dari China.

Soniia kalah 15-21, 8-21 kepada pilihan utama itu selepas bertarung selama 41 minit.

Nasib sama turut dialami pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016, Goh V Shem-Tan Wee Kiong apabila mereka kalah 16-21, 19-21 kepada pilihan ketiga dari China, Li Jun Hui-Liu Yu Chen.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Ogos 2019 @ 10:16 PM