AMINUDDIN  (empat dari kiri) dan Alex  (dua dari kiri) bergambar  bersama atlet ski air negara selepas majlis prapelancaran Kejohanan Ski Air Dunia 2019. - FOTO Luqman Hakim Zubir
AMINUDDIN (empat dari kiri) dan Alex (dua dari kiri) bergambar bersama atlet ski air negara selepas majlis prapelancaran Kejohanan Ski Air Dunia 2019. - FOTO Luqman Hakim Zubir
Samadi Ahmad

SERAMAI 167 atlet dari 33 buah negara bakal berentap dalam Kejohanan Dunia Ski Air 2019 yang berlangsung di Pusat Sukan Air, Presint 6 bermula 13 hingga 19 Ogos ini.

Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Datuk Dr Aminuddin Hassim berkata, edisi penganjuran kali ketiga itu dianjurkan PPj dengan kerjasama Persekutuan Luncur Air dan Wakeboard Antarabangsa (IWWF).

Beliau berkata, pemilihan Putrajaya sebagai lokasi penganjuran pusat itu bertepatan dengan kemudahan lengkap bertaraf antarabangsa serta sesuai untuk penganjuran pelbagai acara sukan air.

“Penganjuran kejohanan ini selaras dengan hasrat kerajaan untuk mempelbagai dan mengembangkan acara sukan air di peringkat antarabangsa dan tempatan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Pra Pelancaran Kejohanan Dunia Ski Air 2019, di sini, hari ini.

ATLET ski air negara, Aiden Yoong Hanifah (kiri) bersama Adam Yoong  (kanan) serta Nadiah Nasir  bergambar  selepas majlis prapelancaran Kejohanan Ski Air Dunia 2019.
ATLET ski air negara, Aiden Yoong Hanifah (kiri) bersama Adam Yoong (kanan) serta Nadiah Nasir bergambar selepas majlis prapelancaran Kejohanan Ski Air Dunia 2019.

Turut hadir Naib Presiden Kanan PPj Datuk Omairi Hashim dan Timbalan Presiden Persekutuan Ski Air & WakeboardMalaysia (MWWF), Alex Yong.

Kejohanan Dunia Ski Air pertama di Putrajaya diadakan pada 2017 merekodkan 132 penganjuran acara pelbagai peringkat dan menarik lebih 2.6 juta kehadiran pengunjung dan meningkat pada 2018 sebanyak 3.3 juta pengunjung.

Dr Aminuddin berkata, acara sukan air itu boleh dijadikan sebagai salah satu produk pelancongan dan dapat menarik lebih ramai pengunjung ke pusat pentadbiran kerajaan persekutuan itu.

Katanya, beberapa program besar pernah diadakan di sini termasuk Kejohanan Asia IWWF 2011, 2KM Core Island Swiming, Oceanman Malaysia dan Sukan Sea ke-29 pada 2017.

Sementara itu, Alex berkata, sebanyak tiga kategori akan dipertandingkan terdiri daripada Trick, Jump dan Slalom.

Menurutnya, Malaysia akan diwakili empat atlet iaitu Aaliyah Yoong Hanifah,16; Nadiah Nasir, 23; Aiden Yong Hanifah,12 dan adiknya, Adam,10 tahun.

“Kami yakin atlet negara mampu meraih beberapa pingat emas termasuk memperbaharui rekod baharu negara berdasarkan kejohanan dunia yang disertai sebelum ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Julai 2019 @ 6:46 PM