HAMIDIN berpuas hati dengan prestasi terkini Harimau Malaya. FOTO Owee Ah Chun
HAMIDIN berpuas hati dengan prestasi terkini Harimau Malaya. FOTO Owee Ah Chun
Meor Riduwan Meor Ahmad


KEJAYAAN Harimau Malaya mara ke pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 pada September depan, hasil kemenangan 12-2 secara agregat mengatasi Timor Leste, mendapat pujian Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin.

Dalam perlawanan timbal balik di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi, anak buah Tan Cheng Hoe menewaskan Timor Leste 5-1 selepas melakar kemenangan 7-1 ke atas lawan sama pada Jumaat lalu.

“Pertama sekali saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah buat Harimau Malaya atas kemenangan kedua dan layak ke peringkat seterusnya.

“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada pasukan negeri dan kelab yang mewakilkan pemain masing-masing berjuang demi lencana di dada.

“Paling utama, terima kasih saya ucapkan kepada pemain dan pegawai rasmi skuad kebangsaan yang sanggup berjuang pada minggu Hari Raya ini,” katanya dalam kenyataan yang disiarkan di laman Facebook FAM, hari ini.

Menurut Hamidin, pihaknya juga berterima kasih kepada Ultras Malaya serta penyokong Harimau Malaya yang hadir di stadium mahupun di rumah yang tetap memberi sokongan padu kepada skuad kebangsaan.

Harimau Malaya layak ke pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022 dan Piala Asia 2023 membabitkan 40 pasukan terbaik Asia yang dibahagikan kepada lapan kumpulan (lima pasukan setiap kumpulan) dan undian kelayakkan dijadual berlangsung pada 17 Julai depan.

Pusingan kelayakan akan berlangsung selama sembilan bulan membabitkan 10 hari perlawanan bermula 5 September 2019 sehingga 9 Jun 2020.

Sepanjang 90 minit perlawanan, Harimau Malaya mendominasi hampir keseluruhan permainan sekali gus menceriakan kira-kira 12,000 penyokong yang hadir ke stadium dengan Shahrel Fikri Md Fauzi turut mencetak hatrik ketika membantu kemenangan selesa 5-1 ke atas Timor Leste.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Jun 2019 @ 11:38 AM