STUART RAMALINGAM
STUART RAMALINGAM
Syazwan Msar


BERSEDIA untuk berubah atau bakal dikenakan tindakan. Itu antara kemungkinan tindakan yang akan diterima semua pasukan Liga-M yang mempunyai sebuah organisasi kelab berlesen, namun enggan menjalankan aktiviti secara berasingan daripada FA bermula pada musim 2021.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Stuart Ramalingam berkata, keputusan itu tetap dilaksanakan kerana ia juga antara kehendak Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) yang mahu liga di bawah ahli gabungannya tidak terikat dengan persatuan bola sepak negeri.

Stuart berkata, pada peringkat awal kaedah itu diperkenalkan sememangnya mendapat bantahan atau pandangan negatif daripada segelintir pihak, namun mereka perlu mengetahui bahawa ia antara kaedah menyelesaikan beberapa isu berbangkit.

Beliau berkata, Jawatankuasa Task Force Pelesenan Kelab Profesional akan berperanan memberi keterangan kepada persatuan bola sepak negeri supaya mereka lebih memahami dan mendapatkan maklumat jelas berkaitan perkara terbabit.

“Inisiatif terbabit bukannya mahu mengecilkan pengaruh atau kuasa persatuan bola sepak negeri, cuma ia memberi peluang kepada mereka memberi tumpuan kepada perkara lain.

“Pada masa sama, masalah tunggakan gaji dapat diselesaikan apabila pemilik pasukan bola sepak itu bertanggungjawab sepenuhnya mencari dana dan menjana pendapatan menerusi kaedah tertentu.

“Kebanyakan liga terkemuka di dunia sudah mengamalkan kaedah terbabit sejak sekian lama, sekali gus dapat meminimumkan masalah kekurangan dana atau tunggakan gaji,” katanya, ketika dihubungi, Arena Metro.

Sebelum itu,menerusi laporan eksklusif akhbar ini baru-baru ini, FAM menubuhkan satu jawatankuasa baharu iaitu Jawatankuasa Task Force Pelesenan Kelab Profesional yang diberi peranan untuk memastikan semua pasukan Liga-M mempunyai sebuah organisasi kelab yang berlesen bagi menjalankan aktiviti secara berasingan daripada FA bermula pada musim 2021. Untuk rekod, ketika ini hanya satu kelab yang bergerak berasingan tanpa ada bantuan daripada FA iaiu kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) yang dimiliki sepenuhnya oleh Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Meskipun ada beberapa pasukan menukar status kepada kelab seperti Terengganu FC dan Melaka United, namun dana pasukan masih lagi dibiayai sepenuhnya oleh FA Negeri.

Sementara itu, Stuart berkata, pelaksanaan inisiatif itu tidak dilakukan secara melulu kerana FAM akan merujuk beberapa negara yang berjaya melaksanakan kaedah berkenaan.

“Kita tidak mengambil 100 peratus kaedah terbabit cuma jika ada yang bersesuaian atau memberi kebaikan akan digunapakai apabila inisiatif itu mula dilaksanakan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Jun 2019 @ 6:05 AM