Mohamad Nabil (tengah) menjalani latihan bersama pemain Terengganu FC. FOTO Ihsan Terengganu FC.
Mohamad Nabil (tengah) menjalani latihan bersama pemain Terengganu FC. FOTO Ihsan Terengganu FC.
Malik Muhamad


PEMAIN baharu Terengganu FC (TFC), Mohamad Nabil Ahmad Latpi mengidam aksi terbaiknya pada penampilan sulung bertemu pasukan Petaling Jaya City FC (PJ City) di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah pada Selasa.

Pemain berusia 27 tahun yang akan menamatkan zaman bujangnya pada 9 Jun depan dengan gadis pilihannya, Nur Shamira Zakaria, 26, juga mahu membuktikan kehadirannya bukan sekadar pelengkap skuad Penyu itu.

Sebaliknya, pemain yang sebelum ini menyarung jersi kelab Ultimate FC dalam saingan Liga M3 tekad mahu membalas kepercayaan ketua jurulatih, Irfan Bakti Abu Salim dan Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT).

“Sebelum ini saya juga mendapat tawaran daripada Pulau Pinang, namun saya menolaknya dengan baik kerana teruja dengan tawaran daripada pengurusan skuad Terengganu selain ingin berguru dengan Irfan Bakti.

“Justeru jika diturunkan bertemu PJ City Selasa ini, saya tekad untuk membalas kepercayaan barisan jurulatih terutama Irfan Bakti yang memberi kepercayaan membarisi pasukan naib juara Piala Malaysia musim lalu kerana bukan senang peluang sebegini hadir.

“Bagaimanapun, saya masih perlu mendapat bimbingan dan tunjuk ajar daripada barisan jurulatih serta pemain berpengalaman dalam skuad itu,” kata Nabil yang sudah menjalani latihan bersama skuad itu.

Sebelum ini pemain yang pernah menyarung jersi pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada musim 2017/2018 adalah pemain kesayangan Ultimate FC kerana sudah meledak tujuh gol bersama kelab itu.

Selain itu, anak penoreh getah kelahiran Kampung Paya Sulaiman, Pendang, Kedah itu juga mampu beraksi di posisi sayap kiri serta kanan dan kehadirannya mampu memberi impak yang positif buat skuad itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Mei 2019 @ 6:33 PM