Aida Adilah Mat


SELEPAS Muhammad Azeem Mohd Fahmi mencetus fenomena dalam olahraga negara tiba pula kelibat pelari 110 meter lari berpagar, Elvin Yap Zhi Xian dari Sarawak mencuri perhatian.

Namun mungkin kerana acaranya 110m kurang mendapat perhatian selain ketinggian palang berbeza mengikut kategori, kejayaan Elvin dalam acara itu di Kejohanan Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) kurang mendapat perhatian.

Elvin, 15, merekodkan rekod baru kejohanan dengan meraih emas dengan catatan 13.68 memadamkan rekod lama miliknya 13.79s pada separuh akhir kejohanan sama menewaskan pelari Johor, Mohamad Haiqal Haqimi Pawzi kedua dan Safarudin Tajuddin dari Sabah, ketiga.

Bekas atlet pecut negara kini bergelar pensyarah di Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP), Nazmizan Muhammad berkata Majlis Sukan Negara (MSN) perlu memberi peluang kepada Elvin untuk diserapkan dan mendapat peluang sama seperti Azeem.

Sebagai pemerhati dan atlet pernah berkecimpung dalam dunia olahraga, Nazmizan berkata, Elvin mempunyai susuk tubuh sesuai acara itu dan mampu pergi lebih jauh jika diberi peluang.

"Bukan hanya Azeem, kita sekarang ada permata baru dalam acara 110m juga.

Bagi Elvin peluang, dia boleh pergi lebih jauh. Lihat saja ketinggiannya, langkahnya dilakukannya ketika beraksi dalma acara 110m itu.

Elvin mudah meninggalkan jauh pesaingnya sepertimana dilakukan oleh Azeem.

"Jadi mengapa tidak MSN memberi peluang yang sama kepada Elvin seperti mana yang Azeem dapat.

Diserapkan ke dalam program pelapis dan diberi peluang menyertai lebih banyak kejohanan," katanya.

Ketika ini, Malaysia hanya mengharapkan Rayzam Shah Wan Sofian dalam acara 110m lari berpagar.

Rayzam adalah pemegang rekod kebangsaan acara itu dengan catatan 13.67s yang dilakukan di Jerman pada Mei 2017.

Malah Rayzam penyandang pingat emas acara itu di Sukan SEA kini kini terpaksa berehat panjang kerana tangan patah ketika beraksi di kejohanan olahraga Grand Prix Terbuka Malaysia, bulan lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Mei 2019 @ 4:47 PM