JENTERA pertahanan Pahang perlu mengawal ketat  Tchetche  (kanan)  jika tidak mahu kecundang di kubu sendiri.
JENTERA pertahanan Pahang perlu mengawal ketat Tchetche (kanan) jika tidak mahu kecundang di kubu sendiri.
Asrol Awang

SKUAD Pahang perlu mencatat kemenangan selesa jika mahu mempertahankan kejuaraan apabila melayan Terengganu FC (TFC) pada suku akhir kedua Piala FA, Jumaat ini.

Kekalahan 1-2 pada suku akhir pertama di Kuala Terengganu pada 1 Mei lalu, memerlukan komitmen tinggi dalam usaha menyekat skuad Penyu di Stadium Darul Makmur.

Bagi pemain pertahanan, Mohd Faisal Rosli, prestasi mantap dipersembahkan TFC terutama jentera serangan perlu diberikan perhatian.

"Saya lihat jentera hadapan diketuai Kipre Tchetche semakin bagus yang memerlukan kami bekerja keras mempertahankan gawang daripada dibolosi.

"Walaupun TFC dilihat memiliki kelebihan, aksi di laman sendiri akan dimanfaatkan sebaik mungkin untuk mempertahankan piala dimenangi tahun lalu.

"Saya percaya peluang masih ada buat Pahang untuk mengisi slot separuh akhir terutama memperkasakan pasukan terutama ketajaman di bahagian serangan," katanya.

Mohd Faisal atau Tocang berkata, prestasi skuad Penyu itu juga tidak akan menjejaskan misi Tok Gajah mempertahankan kejuaraan.

Katanya, kebangkitan Pahang mampu menafikan skuad kendalian Irfan Bakti Abu Salim itu.

"Dua kekalahan berturut-turut dialami memberi pengajaran terbaik untuk kami bangkit kembali mencatat kemenangan.

"Kemenangan ke atas TFC adalah peluang terbaik untuk menebus kekecewaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Mei 2019 @ 5:57 PM