NWAKAEME menjaringkan empat gol bersama Pahang setakat ini.
NWAKAEME menjaringkan empat gol bersama Pahang setakat ini.
Asrol Awang

DUA penyerang import Pahang, Dickson Nwakaeme dan Jose Eduardo atau Ze Love dituntut tampil lebih berbisa apabila bertemu PKNS FC di Stadium Shah Alam, malam esok. 

Ini kerana keputusan seri 1-1 dengan PJ City FC pada 7 April lalu, ternyata menjejaskan hasrat untuk memintas Johor Darul Ta'zim (JDT) selaku pendahulu Liga Super ketika ini. 

Justeru, pengurus Tok Gajah, Datuk Mohammed Suffian Awang mahu gandingan penyerang Nigeria dan Brazil itu mampu merobek gawang The Red Ants. 

"Empat gol Nwakaeme manakala Eduardo yang sudah menjaringkan tiga gol membuktikan sentuhan gol daripada mereka amat ditagih untuk memastikan pasukan beroleh kemenangan.  Begitu juga persefahaman dan sokongan daripada semua pemain berada pada tahap terbaik, sekali gus kembali merekodkan kemenangan," katanya. 

Pada perlawanan malam esok, Mohammed Suffian mengesahkan pemain tengah, Nor Azam Azih yang sebelum ini tidak beraksi akibat kecederaan dijangka kembali memperkasakan skuad Tok Gajah. 

Katanya, kembalinya Nor Azam diyakini membantu jentera tengah bersama Safuwan Baharudin, Mohamadou Sumareh dan Saddil Ramdani untuk memberi tekanan kepada skuad Datuk K Rajagobal.  "Selepas gagal mengutip tiga mata di laman sendiri minggu lalu, saya mengharapkan disiplin dan komitmen pemain akan lebih bagus untuk menyekat tuan rumah. 

"Namun, pemain tidak boleh memandang mudah kemampuan pemain PKNS biarpun mereka berada di tangga kelima kerana hanya dibezakan enam mata dengan Pahang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 April 2019 @ 9:23 PM