(DARI kiri) Travis Mccabe, Dyball,  Angus Lyons dan Vadim Pronskiy bergambar selepas tamat peringkat keenam, hari ini.   - FOTO AFP
(DARI kiri) Travis Mccabe, Dyball, Angus Lyons dan Vadim Pronskiy bergambar selepas tamat peringkat keenam, hari ini. - FOTO AFP
Azlan Muhammad Zain

PASUKAN benua tempatan, Team Sapura Cycling (TSC) sudah menghantar isyarat jelas kemampuan mereka mengekalkan Jersi Kuning berbaki dua lagi peringkat perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2019.

Prinsipal TSC, Sayuti Zahit menjelaskan selepas kemenangan di Genting Highlands, pasukan bertanding akan mengatur strategi bagi mencabar dan menguji kemampuan mereka mempertahankan Jersi Kuning yang diraih.

"Kami memang menjangkakan peringkat kelima dan keenam akan menjadi cabaran getir dari pasukan bersaing kerana mereka mahu menguji kemampuan. Jadi kami sudah berjaya mengatasinya.

“Apabila mereka cuba melakukan pemecahan, kami berjaya merapatkan jurang dan akhirnya penamat berakhir dalam kelompok besar dalam tempoh dua hari ini," katanya.

AKSI pelumba Androni Giocattoli-Sidermec, Matteo Pelucchi ketika memenangi peringkat keenam dari Bagan, Pulau Pinang ke Alor Setar. - FOTO Rosdan Wahid
AKSI pelumba Androni Giocattoli-Sidermec, Matteo Pelucchi ketika memenangi peringkat keenam dari Bagan, Pulau Pinang ke Alor Setar. - FOTO Rosdan Wahid

Pelumbanya, Benjamin Dyball mengekalkan Jersi Kuning bagi kategori individu dengan mengumpul 24 jam 40 minit 12 saat selepas kemenangan peringkat keempat di ‘queen stages’ Genting Highlands.

Dia mengekalkan kelebihan 27 saat mengatasi pelumba Interpro Cycling Academy, Hernan Aguirre Calpa dari Colombia yang mencatatkan 24'40:39s manakala pelumba Floyd's Pro Cycling, Keegan Swirbul ketiga dengan 24'41:02s.

"Adalah penting untuk kami tunjukkan kemampuan mengekalkan jersi, jadi mereka akan mengalah. Bagaimanapun kami tetap berwaspada dengan pelumba di kedudukan kedua dan ketiga Jersi Kuning. Kami tidak memandang rendah namun kebiasaannya jarak perlumbaan pada jarak 100 kilometer sukar untuk mereka melakukan sesuatu," tambahnya.

Peringkat ketujuh esok sejauh 106.8km manakala peringkat kelapan 103.8km dengan kedua-duanya berlangsung di Pulau Langkawi.

TSC turut boleh berbangga apabila pelumbanya, Muhammad Zawawi Azman dijangka mengekalkan kedudukan sebagai pelumba terbaik Malaysia dengan masa 24'46:00s.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 April 2019 @ 6:16 PM