MARQUEZ gagal menamatkan perlumbaan GP Argentina tahun lalu namun muncul juara kali ini. — FOTO EPA
MARQUEZ gagal menamatkan perlumbaan GP Argentina tahun lalu namun muncul juara kali ini. — FOTO EPA
AFP

JUARA dunia Marc Marquez merakam kemenangan sejak awal perlumbaan pada MotoGP Argentina awal pagi tadi di depan musuh utama Valentino Rossi, menyifatkan persembahannya sebagai “hari sempurna.”

Penunggang Honda, Marquez meraih kemenangan ke-45 karier dalam kelas elit itu, berakhir 10 saat di depan Rossi dengan jentera Yamaha.

Andrea Dovizioso, yang memenangi perlumbaan pembuka tirai musim di Qatar, menduduki tangga ketiga dengan jentera Ducati.

Marquez, yang memburu kejuaraan MotoGP dunia kali keenam, kini mendahului kejuaraan 2019 selepas dua pusingan daripada 19 perlumbaan.

REAKSI Marquez (tengah) di podium selepas menang GP Argentina diapit Rossi (kiri) dan Dovizioso. — FOTO Reuters
REAKSI Marquez (tengah) di podium selepas menang GP Argentina diapit Rossi (kiri) dan Dovizioso. — FOTO Reuters

“Hari ini, ia hari yang sempurna. Saya menekan sepanjang masa dan lima pusingan sebelum tamat saya boleh memperlahankan jentera untuk menyelamatkan enjin dan tayar,” kata Marquez.

“Ia satu daripada hujung minggu paling mantap dalam karier MotoGP saya. Pada pusingan pertama, saya mahu membuat perbezaan sebesar mungkin, ia satu strategi, saya menyerang dan saya melihat jurang membesar.”

Ketika Marquez jarang digugat pada perlumbaan awal pagi tadi, aksi di belakangnya lebih menarik dengan Rossi dan Dovizioso bertukar tempat 12 kali.

Namun Rossi yang berusia 40 tahun menggunakan kesempatan susulan kesilapan Dovizioso pada pusingan terakhir untuk menduduki tangga kedua di litar yang mana 12 bulan lalu dia berlanggar dengan Marquez sebelum tersingkir keluar.

“Saya menunggu dan memintasnya pada pusingan terakhir,” kata Rossi, kini beraksi musim ke-20 dalam kelas elit MotoGP dan menjejak podium kali pertama sejak di Jerman, Julai lalu.

“Ia hari yang hebat buat pasukan. Sudah agak lama sejak saya kali terakhir menaiki podium.”

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 April 2019 @ 11:25 AM