ZII Jia akui rekod 12 kejuaraan Chong Wei amat mengagumkan. — FOTO Mohd Yusni Ariffin
ZII Jia akui rekod 12 kejuaraan Chong Wei amat mengagumkan. — FOTO Mohd Yusni Ariffin
BERNAMA

KETIADAAN Datuk Lee Chong Wei mencetus sedikit tekanan buat pemain muda negara, Lee Zii Jia untuk menggalas cabaran negara dalam acara perseorangan lelaki pada kejohanan Terbuka Malaysia, minggu depan.

Dia bagaimanapun yakin pengalaman menentang beberapa pemain ternama dunia sebelum ini dapat membantu menyerap tekanan sekali gus menghadirkan keputusan positif pada kejohanan bernilai AS$700,000 (RM2.85 juta) itu.

Zii Jia berkata, pertemuan dengan pemain nombor empat dunia, Viktor Axelsen dari Denmark pada Masters Malaysia, Januari lalu dan pemain nombor tiga dunia, Chou Tien Chen dari Taiwan pada Terbuka Jerman awal bulan ini membantu mematangkan permainannya.

“Saya harap dapat mengekalkan rentak di gelanggang apabila turun beraksi,” kata pemain berusia 20 tahun itu dalam kenyataan yang dikeluarkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), hari ini.

Dalam pada itu, anak jati Kedah itu mengakui sukar untuk mencabar pencapaian 12 kali kejuaraan Terbuka Malaysia yang dimenangi Chong Wei, namun percaya kejayaan demi kejayaan akan hadir sekiranya dia bekerja keras seperti pemain utama negara itu.

Terbuka Malaysia akan berlangsung di Arena Axiata, Bukit Jalil dari 2 hingga 7 April ini.

Zii Jia, yang menghuni ranking ke-21 dunia, akan membuka kempen menentang pemain nombor 33 dunia, Suppanyu Avihingsanon dari Thailand.

Dalam dua pertemuan sebelum ini, Zii Jia menang pada Kejohanan Berpasukan Asia, Februari tahun lalu sebelum kalah pada Terbuka Thailand, lima bulan kemudian.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Mac 2019 @ 11:44 PM