Pahang beraksi tanpa Nwakaeme dan Saddil (kanan). FOTO NSTP
Pahang beraksi tanpa Nwakaeme dan Saddil (kanan). FOTO NSTP
Asrol Awang


PENYERANG berbisa, Dickson Nwakaeme dan Saddil Ramdani tidak beraksi apabila Pahang berdepan FELDA United FC di Stadium Tun Abdul Razak (STAR), Jengka, Sabtu ini. 

Nwakaeme yang menjaringkan tiga gol dalam saingan Liga Super digantung satu perlawanan kerana mengutip tiga kad kuning.

Saddil pula masih belum lagi bersama Tok Gajah selepas menyarung jersi pasukan kebangsaan Indonesia. 

Pengendali Tok Gajah, Dollah Salleh berkata, setakat ini, pemain Indonesia berumur 20 tahun itu masih berada di negaranya dan dijangka tiba di Kuantan esok atau Sabtu ini. 

"Oleh itu, Saddil mungkin tidak bersama Pahang bertemu FELDA United Sabtu ini kerana saya perlu menilai prestasi sebelum dia disenaraikan. 

"Apa yang boleh saya sahkan bahawa tiga import iaitu Safuwan Baharudin, Herold Goulon dan Jose Eduardo akan disenaraikan," katanya. 

Bagi memastikan selesa bermain di padang tiruan, Dollah berkata, mereka menjalani latihan selama dua hari di padang sintetik Majlis Perbandaran Kuantan (MPK). 

Katanya, latihan itu adalah untuk menyesuaikan diri beraksi di padang tiruan di STAR. 

"Oleh itu, saya mengharapkan semua pemain dapat mempamer prestasi diinginkan selepas liga berehat selama tiga minggu. 

"Tiga mata menjadi misi utama pasukan dan diharapkan ia tercapai untuk mengukuhkan kedudukan dalam saingan Liga Super," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Mac 2019 @ 4:16 PM