STADIUM Anfield di Liverpool. — FOTO Agensi
STADIUM Anfield di Liverpool. — FOTO Agensi
BERNAMA

PEMINAT Liverpool di negara ini berpeluang untuk berada di ‘Anfield’ selepas Kuala Lumpur disahkan sebagai antara destinasi jelajah khas LFC World pada 20 dan 21 April ini.

Menurut penaja mereka Standard Chartered dalam satu kenyataan hari ini, pengalaman dua hari itu akan membolehkan peminat menyaksikan LFC World Hub di One Utama Centre Court.

Dalam hab itu, peminat akan dapat merasai sendiri pengalaman ‘berada’ di Anfield dengan replika Shankly Gates, pintu masuk bersejarah yang menjadi ikon stadium Anfield dan papan tanda ‘This Is Anfield’.

“Terdapat juga bilik persalinan khas LFC World yang mana peminat boleh duduk di bawah baju pemain LFC kegemaran mereka Mohamed Salah, Sadio Mane, Virgil Van Dijk dan Roberto Firmino bagi mencipta imej bilik persalinan ikonik mereka sendiri,” menurut kenyataan itu.

HYYPIA (kiri) ketika beraksi buat Liverpool pada 2008. — FOTO Agensi
HYYPIA (kiri) ketika beraksi buat Liverpool pada 2008. — FOTO Agensi

Selain pelbagai aktiviti menyeronokkan untuk peminat mengambil bahagian dan hadiah istimewa serta cenderahati, peminat juga dapat bertemu wira LFC iaitu Jason McAteer, Sami Hyppia dan Steve McManaman.

“Liverpool adalah antara kelab bola sepak terkenal di dunia dengan peminat yang ramai di pasaran utama kami termasuk Malaysia dan kami berbangga dapat dikaitkan dengan mereka.

“Kami amat teruja untuk memperluaskan faedah eksklusif, termasuk akses ke Liverpool FC Legends, barangan dan juga tiket ke Anfield kepada komuniti, pelanggan dan peminat LFC,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Standard Chartered Malaysia Abrar A Anwar dalam kenyataan itu.

Sementara itu, Hyppia berkata: “Bagi Reds di Malaysia, LFC World Kuala Lumpur adalah tempat yang perlu dikunjungi. Kami tahu tidak semua peminat boleh ke Anfield, jadi inilah cara kami untuk membawa Anfield lebih dekat dengan mereka. Kami tidak sabar untuk berjumpa semua, ia akan menjadi hujung minggu yang hebat.”

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Mac 2019 @ 11:27 PM