HAMIDIN dipilih menggantikan Tunku Ismail Sultan Ibrahim dalam Kongres FAM Kali Ke-54 pada 14 Julai lalu.
HAMIDIN dipilih menggantikan Tunku Ismail Sultan Ibrahim dalam Kongres FAM Kali Ke-54 pada 14 Julai lalu.
Firdaus Hashim

KECEKAPAN tadbir urus dan perancangan masa depan yang bersistematik menyaksikan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dipilih Pesuruhjaya Sukan sebagai penerima penilaian lima bintang pertubuhan sukan kebangsaan 2018.

Menurut Pesuruhjaya Sukan, Datuk Zaiton Othman, pemberian penarafan lima bintang terhadap badan induk bola sepak tempatan itu sememangnya tepat selepas pihaknya berpuas hati dengan sistem tadbir urus yang cekap diamalkan FAM.

"Kita mengambil kira pelbagai aspek dan FAM berjaya menguruskan persatuan dengan cukup teratur dan penuh tertib.

“Perkara yang paling jelas adalah mereka berjaya menguruskan tadbir urus dengan baik seperti menyediakan laporan lengkap setiap mesyuarat atau kongres yang dijalankan serta pemilihan lokasi (kongres) yang mengikut standard antarabangsa di hotel-hotel terkemuka.

"Selain itu, perjalanan setiap ahli gabungan di negeri-negeri juga baik dan mengikut peraturan sedia ada tanpa pelanggaran yang boleh memberi kesan kepada pemarkahan.

"Malah, FAM juga mempunyai pelan jangka panjang yang bagus seperti pelancaran F:30 (Peta Hala Tuju) yang dilancarkan tahun lalu.

"Berdasarkan semua kriteria itu, mereka sememangnya layak mendapat markah penuh dan patut menjadi contoh kepada persatuan sukan lain di negara ini," katanya ketika dihubungi Arena Metro, semalam.

FAM yang kini diterajui Datuk Hamidin Mohd Amin dilihat berada pada landasan tepat untuk terus melaksanakan agenda perubahan selepas dipilih secara rasmi bagi menggantikan Tunku Ismail Sultan Ibrahim dalam Kongres FAM Kali Ke-54 pada 14 Julai lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Mac 2019 @ 12:24 AM