DATUK Hamidin Mohd Amin. FOTO GHAZALI KORI
DATUK Hamidin Mohd Amin. FOTO GHAZALI KORI
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Bola sepak Malaysia kini dalam perjalanan tepat menuju era gemilang seperti mana pernah dicapai pada zaman kegemilangan sekitar 70an dan 80an lalu.

Impian itu tidak mustahil selepas banyak perubahan berlaku dalam ekosistem bola sepak negara sejak lima tahun lalu sebaik Datuk Hamidin Mohd Amin dilantik selaku Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pada 14 Julai 2018.

Buktinya, kejayaan layak ke Piala Asia secara merit selepas menunggu terlalu lama dengan kali terakhir beraksi menerusi pusingan kelayakan adalah pada 1980 yang berlangsung di Kuwait waktu itu.

Malah, merevolusikan saingan Liga Malaysia (Liga M) dengan mewajibkan semua pasukan di swastakan dianggap langkah berani yang jarang berlaku sebelum ini, sudah membuahkan hasil dengan tiada lagi pasukan yang bertanding atas tiket Persatuan Bolasepak Negeri (FA).

Keyakinan itu disuarakan Setiausaha Agung Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), Datuk Seri Windsor Paul John yang melihat perubahan besar landskap bola sepak negara sedang pesat berjalan di bawah kepimpinan Hamidin.

Jelas Windsor, Hamidin cukup memahami senario bola sepak negara daripada sekecil-kecil hingga isu besar yang dihadapi.

"Beliau datang dari bawah menguruskan persatuan negeri hingga sekarang ke Fifa. Kalau dalam bahasa Inggeris kita sebut 'hands on' dalam semua perkara, dan sebab itu bila beliau buat sesuatu keputusan itu sudah tentu tepat dan yang terbaik.

"Sebab itu sebaik beliau memegang tampuk kepimpinan FAM, beliau tidak menunggu lama apabila terus melancarkan F:30 (Peta Hala Tuju atau Roadmap FAM) bagi mengajak semua ahli gabungan dan pemegang taruh untuk sama-sama memandang visi dan misi beliau dalam F:30 itu.

"Hubungan beliau dengan kelab cukup baik, hubungan dengan AFC cukup baik, hubungan dengan Fifa juga baik dan hubungan dengan AFF pun erat.

"Dengan sifat terbuka dan pengalaman luas dalam bola sepak, bagi saya beliau pemimpin yang luar biasa dan mampu membawa perubahan kepada bola sepak Malaysia," katanya ketika dihubungi sempena genap lima tahun hari ini Hamidin sebagai Presiden FAM.

Sepanjang tempoh lima tahun lalu, Hamidin bukan saja meletakkan standart tadbir urus yang tinggi di FAM malah beliau juga mengambil berat prestasi semasa skuad Harimau Malaya.

Selain kejayaan layak ke Piala Asia di Qatar Januari depan, antara pencapaian cemerlang diraih adalah peningkatan ranking Fifa yang cukup positif apabila kini Malaysia menghuni tangga 137 dunia, melonjak 34 anak tangga dari kedudukan 171 pada Jun 2018 lalu.

Kemuncak karier Hamidin sudah tentu kejayaan terpilih selaku Ahli Majlis Fifa bagi penggal 2023-2027 pada Februari lalu, yang menjadikannya rakyat Malaysia keempat yang dilantik selepas Naib Presiden FAM, Lee Kee Siong pada tahun 1960; disusuli Tan Sri Hamzah Abu Samah pada tahun 1972 dan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri-ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 2015 lalu.

Selain pembabitan dalam dunia bola sepak, kredibiliti dan kepimpinan Hamidin turut diakui pihak luar apabila diumum sebagai Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Julai 2023 @ 4:01 PM