HELMI guna jentera CBR600RR buat kali pertama di Litar Sepang.
HELMI guna jentera CBR600RR buat kali pertama di Litar Sepang.
Ferzalfie Fauzi

TANGAN dan kaki pelumba 600cc SuperSports, Helmi Azman seakan-akan sudah menggeletar apabila dia tidak sabar lagi beraksi buat kali pertama dalam saingan Kejuaraan Motosikal Asia Idemitsu (ARRC) musim 2019 selepas dinaikkan pangkat musim ini.

Juara Underbone 150cc tahun lalu itu akan bergandingan bersama Azroy Hakeem Anuar membawa cabaran Musashi Boon Siew Honda Racing.

Dia yang akan menggunakan jentera CBR600RR buat kali pertama dalam sesi latihan pramusim di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) sudah tidak sabar untuk bekerjasama dengan rakan sepasukan baharu.

"Saya sudah tidak sabar untuk ke litar. Bekerja bersama rakan sepasukan baharu dan jentera lebih pantas sudah tentu memberikan cabaran berbeza kepada saya,” katanya. Ujar Helmi, walaupun kali pertama beraksi dalam kelas SuperSports 600cc di ARRC, namun dia berpengalaman beraksi dalam pelbagai kejuaraan tempatan dengan jentera berkenaan.

"Saya yakin dapat menyesuaikan diri, ditambah dengan bantuan Azroy yang sudah beraksi dalam kategori ini pada musim lalu. Mengenai pencabar pula, ada antara mereka yang lebih berpengalaman dalam kategori ini namun saya yakin dapat memberikan cabaran yang terbaik," kata pelumba berusia 20 tahun ini.

Helmi mengakui saingan SuperSports 600cc ARRC musim 2019 menyaksikan persaingan antara pelumba muda Asia selepas pelumba lebih berpengalaman kini beraksi dalam kelas baharu, Asia Superbike 1000cc.

Antara barisan pelumba muda negara yang bakal mewarnai cabaran SuperSports 600cc termasuk Ramdan Rosli, Adam Norrodin, Kasma Daniel Kasmayudin, Fakhrusy Syakirin Rostam dan Ahmad Afif Amran. Dia yang pernah beraksi di Asia Talent Cup bercita-cita untuk menjadi pelumba Moto3 negara satu hari nanti.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Mac 2019 @ 11:53 PM