Pemain Brighton, Anthony Knockaert (kiri) bersaing dengan Ashley Cole dari Derby County dalam saingan Piala FA. FOTO AFP
Pemain Brighton, Anthony Knockaert (kiri) bersaing dengan Ashley Cole dari Derby County dalam saingan Piala FA. FOTO AFP
Reuters

BEKAS pemain pertahanan Chelsea dan England, Ashley Cole menjaringkan gol Piala FA pertamanya namun ia belum mencukupi untuk kelab Liga Kejuaraan Derby County mara ke suku akhir selepas tewas 2-1 kepada Brighton.

Beraksi sebagai pemain gantian, Cole tidak pernah menjaringkan gol dalam bola sepak Inggeris sejak tahun 2012 sebaliknya berjaya menghasilkan gol pada lewat permainan selepas lawan dari Liga Perdana itu mendahului dua gol hasil jaringan Anthony Knockaert dan Juergen Locadia.

Bek kiri veteran itu, juara tujuh kali Piala FA, menyertai Derby yang diuruskan bekas rakan sepasukan Chelsea, Frank Lampard, pada Januari selepas meninggalkan LA Galaxy tahun lalu.

“Saya tumpang gembira untuknya. Dia bekerja keras untuk kecergasannya dan kami memberikannya 45 minit,” kata Lampard.

“Ia bukan situasi yang sempurna tetapi ia bagus untuknya. Dia tampak tenang dan masih ada kelas.”

Pengurus Brighton Chris Hughton melakukan lapan pertukaran ke atas skuadnya dengan keutamaan adalah mengelak daripada tercicir ke zon penyingkiran Liga Perdana selepas hanya menang sekali daripada 11 perlawanan.

“Anda boleh mempunyai impian,” kata Hughton yang pernah menjuarai Piala FA sebagai pemain Tottenham Hotspur.

“Realitinya ialah salah satu daripada enam pasukan teratas yang sentiasa memenangi kejuaraan ini, bagi pasukan seperti kami sasarannya ialah mara sejauh mungkin. Suku akhir cukup besar bagi kelab ini.”

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Februari 2019 @ 4:40 PM