PENYERANG TFC, Abdul Malik Mat Ariff (tengah) diasak tiga pemain PKNS FC di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, semalam. FOTO Rozainah Zakaria
PENYERANG TFC, Abdul Malik Mat Ariff (tengah) diasak tiga pemain PKNS FC di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, semalam. FOTO Rozainah Zakaria
Oleh Malik Muhamad

KUALA TERENGGANU: “Sebelum ini saya tak pernah buat (masuk padang), ini kali pertama dalam karier sebagai jurulatih saya berbuat demikian selepas nampak Igor (Zonjic) dalam situasi dari bawah naik ke atas nak tolak pemain dan sebagainya, jadi saya fikir situasi itu akan jadi lagi teruk,” menurut ketua jurulatih PKNS FC, Datuk K Rajagobal.

Tindakannya masuk ke padang ketika berdepan naib juara Piala Malaysia musim lalu, Terengganu FC (TFC) dalam aksi pertama Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, semalam bukannya akibat ‘dirasuk’.

Sebaliknya bekas jurulatih kebangsaan yang terkenal dengan sikap tenangnya itu menyatakan tindakan itu bagi mengelak perlawanan menjadi lebih ‘panas’ selain kurang senang dengan gelagat pemain import TFC, Zonjic yang meluru ke arah pemainnya.

“Hanya sebab itulah saya nak beritahu pemain itu (Zonjic), kenapa berbuat demikian, Irfan Bakti (Abu Salim) pun terkejut dalam situasi itu, selepas permainan beliau meminta maaf kepada saya.

“Saya kata OK, tapi sebelum tercetusnya insiden itu ada pemain kita cedera, namun pemain Terengganu meneruskan permainan menyebabkan pemain kita (Faizat Ghazali) mungkin melakukan sesuatu,” kata Rajagobal mengulas mengapa beliau masuk ke padang.

Insiden yang menyebabkan Rajagobal ‘naik angin’ berlaku pada minit ke-69 berpunca daripada kekasaran Faizat ke atas pemain tengah TFC, Khairu Azrin Khazali selepas pemain itu tidak mengeluarkan bola daripada permainan atau ‘fair play’ ketika pemain pelawat, Romel Morales Ramirez terbaring berdekatan kawasan mereka.

Tindakan Faizat ketika TFC ketinggalan 0-1 hasil jaringan Nicholas Ryan Swirad mengundang kemarahan pemain TFC sebelum tercetusnya insiden tolak menolak antara kedua-dua pasukan namun berjaya dileraikan pegawai perlawanan dan pasukan.

Penyerang TFC, Malik Mat Ariff muncul penyelamat maruah pasukannya apabila jaringannya pada minit akhir perlawanan berjaya mengikat skuad Semut Merah itu 1-1 untuk berkongsi satu mata.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Februari 2019 @ 11:16 AM