SHAHRUL SAAD
SHAHRUL SAAD
Devinder Singh


KETUA jurulatih skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe mencuba beberapa kombinasi ketika menentang Lubnan tetapi paling ketara di bahagian pertahanan.

Cheng Hoe menggandingkan bek Perak, Shahrul Saad dan Irfan Zakaria dari Kuala Lumpur di pertahanan tengah dan kedua-duanya beraksi cemerlang mengekang asakan Lubnan walaupun tewas 2-1 hasil jaringan masa kecederaan di Beirut.

Walaupun Irfan bermain di posisi bek tengah bersama pasukan bawah 23 tahun kebangsaan, Kuala Lumpur lebih kerap meletakkannya sebagai pemain tengah.

Shahrul juga kerap bermain di barisan tengah bersama Perak, jadi ia satu perubahan besar apabila Cheng Hoe menggandingkan kedua-duanya sebagai tonggak pertahanan dengan Irfan tampil kali pertama bersama skuad senior kebangsaan.

“Saya bangga dengan cara Irfan bermain, bukan saja ketika menentang Lubnan tetapi ketika Kejuaraan Bawah 23 AFC,” kata Shahrul.

“Mudah untuk berkomunikasi dengannya dan saya rasa kami serasi bersama.

“Kami mampu bermain sebagai satu pasukan walaupun jarang beraksi bersama, kami membantu satu sama lain di atas padang. Penting untuk memberikan komitmen penuh di atas padang dan itulah yang semua pemain lakukan.”

Cheng Hoe dijangka menurunkan kombinasi berbeza pada pertemuan dengan Bhutan di Stadium Nasional Bukit Jalil, Ahad ini dalam usaha menamatkan kemarau kemenangan Harimau Malaya dalam 12 perlawanan sejak November 2016.

“Kami perlu menang ke atas Bhutan dan mengekalkan tahap permainan yang ditunjukkan ketika menentang Lubnan,” kata Shahrul yang mengumpul kap ke-13 ketika di Beirut.

Sementara itu, penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat berkata persembahan pasukan ketika di Beirut meningkatkan keyakinan pemain.

“Cara kami bermain menentang Lubnan memberi keyakinan baharu buat kami untuk menang ke atas Bhutan,” kata penjaga gol Kelantan itu.

“Kami kini perlu memastikan yang momentum itu dibawa ke perlawanan seterusnya, menurut arahan jurulatih dan memberikan harapan baharu kepada penyokong.”

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Mac 2018 @ 11:05 PM