HENRY digantung tugas sebagai jurulatih Monaco. FOTO/AGENSI
HENRY digantung tugas sebagai jurulatih Monaco. FOTO/AGENSI
AFP

MONACO: Thierry Henry digantung tugas sebagai jurulatih dalam pasukan yang bergelut di saingan Ligue 1, Monaco hari ini dengan bekas penyerang Perancis itu dijangka akan disingkirkan secepat mungkin.

“Henry digantung sehingga keputusan akhir dibuat,” kata Monaco dalam satu kenyataan dengan mengatakan penolong jurulatih, Franck Passi akan mengambil alih tugas pada sesi latihan esok menjelang perlawanan menentang Dijon.

Henry, 41, digantung Monaco, yang kini berada di tangga kedua tercorot dalam divisyen teratas Perancis selepas hanya mengutip 15 mata, dengan bekas bintang Arsenal itu hanya mencatatkan dua kemenangan liga sejak tiba di kelab itu pada Oktober.

Beliau mengambil tugas jurulatih bersama kelab juara Perancis 2017 itu pada Oktober lalu selepas Leonardo Jardim dipecat namun gagal membaiki persembahan buruk kelab itu pada awal musim ini.

Ironinya, Jardim dikatakan bakal diambil semula bagi mengisi kekosongan Henry untuk membantu Monaco kembali memberikan saingan.

Bagaimanapun idea untuk memecat Henry bukanlah murah.

Beliau dilaporkan memperoleh gaji 3.2 juta euro (RM14.99 juta) setahun dan mempunyai baki kontrak dua setengah tahun lagi dengan Monaco berkemungkinan terpaksa membayar lapan juta euro (RM37.46 juta) sebagai pampasan jika mahu menyingkirkannya.

Sebelum ini, Henry dikatakan mengguris hati pengurusan teratas kelab itu dengan kenyataannya.

“Apabila saya datang, kelab ini sangat teruk, saya cuba melakukan banyak perkara yang anda tak dapat lihat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 January 2019 @ 8:32 AM